Kepada Datuk Kampung Kuantan , ini adalah pandangan saya sendiri. Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, saya rasa, daripada perwatakannya, ingin benar melepaskan jawatannya sebagai menteri besar Kelantan.

Lihat saja bagaimana masanya terpaksa dibahagikan sebegitu rupa supaya 24 jam di penuhi dengan mentadbir negeri dan juga menjalankan aktivitinya sebagai seorang Tok Guru, seperti memberi tazkirah.

Jika dilihat dari kesihatan pula, Tok Guru telahpun menghadapi masalah jantung. Tentunya ahli keluarganya ingin sangat supaya ia dapat melepaskan jawatan pentingnya sebagai menteri besar Kelantan dan berehat sahaja, tanpa sebarang aktiviti, walaupun bertazkirah, aktiviti yang amat di sukai oleh Tok Guru.

Mengenai SMS pula, ianya tiada kena ada mengena dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz. Bukan dia yang mengadakan SMS supaya kekal menjadi menteri besar seumur hidup. Ianya, saya percaya, diadakan berkemungkinan besar supaya Tok Guru mengambil perhatian supaya beliau kekal di jawatannya dan tidak melepaskannya buat masa ini.

Tok Guru tiada niat untuk kekal sebagai menteri besar seumur hidup dan diharap Datuk Kampung Kuantan supaya periksa terlebih dahulu daripada merapu dalam percubaannya memburuk-burukkan Tok Guru.

Tanyalah terus pada Tok Guru sama ada beliau mahu kekal sebagai menteri besar sehingga akhir hayatnya dan dapatlah Datuk Kampung Kuantan jawapannya. Isu ini saya nampak adalah untuk menjatuhkan air muka Tok Guru sahaja.

Mengenai rundingan di antara Husam Musa dan Khairy Jamaluddin , jika ianya diadakan, bukankah mereka ini semua orang politik. Politik memanglah begini. Rundingan dan perbincangan diadakan supaya satu jalan keluar dapat di adakan.

Sebelum rundingan dan perjumpaan ini diadakan, saya percaya para strategis, ahli perundangan dan orang tertentu di dalam Umno dan PAS, telahpun memikirkan bahawa jalan keluar yang terbaik daripada sesuatu keadaan yang keruh adalah dengan berkompromi di dalam hal pilihanraya yang baru lalu.

Melihat kepada keadaan mahkamah hari ini, adakah Datuk Kampung Kuantan percaya keadilan dapat diberikan? Lihat sahaja keadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sistem perundangan negara.

Melihatkan keadaan ini, saya percaya Tok Guru, atas nasihat orang kepercayaannya, mengambil tindakan yang terbaik. Bayangkan jika pilihanraya negeri Kelantan terpaksa diadakan semula selepas pihak mahkamah mendapati berlaku penyelewengan dalam pilihanraya lalu.

Semua jentera kerajaan Malaysia akan di kerah dengan hebatnya supaya Umno dan Barisan Nasional (BN) memenangi Kelantan. Agenda Umno akan berjaya kerana peluang mereka untuk memenangi Kelantan adalah besar apabila pilihanraya ditumpukan pada sabuah negeri sahaja.

Ingatlah, apabila berpolitik, PAS kena bijak. Di dalam hal ini, setelah mendapat maklum balas, saya memahami kompromi yang diadakan itu adalah yang terbaik. Jika hilangnya Kelantan, bayangkan susahnya PAS akan bergerak nanti.

Oleh itu, saya berharap Datuk Kampung Kuantan janganlah memburuk-burukkan Tok Guru tanpa memahami akan keadaan sebenar. Lihatllah pada gambaran keseluruhannya.