Apakah tindakan kerajaan terhadap kuiz SMS?
Rakyat Malaysia amat berterima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana telah menjalankan kajian yang terperinci terhadap kuiz SMS yang banyak dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu. Hasil kajian itu menunjukkan kebanyakkan kuiz SMS mengandungi unsur-unsur judi, samar-samar dan penipuan.
Kuiz SMS yang telah tamat sebelum pengumuman Majlis Fatwa Kebangsaan, tidak perlu dipersoalkan. Tetapi bagaimana pula dengan kuis SMS yang sedang dijalankan tetapi diberhentikan atau digantung sementara waktu oleh pihak penganjur semasa pengumuman dibuat?
Apakah tindakan yang sewajarnya yang perlu diambil? Adakah kerajaan hanya perlu berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan terhadap pihak penganjur yang terlibat dengan penipuan yang salah disisi undang-undang, atau hanya berkata 'padan muka' kepada ribuan peserta yang berbelanja ribuan ringgit dalam kuiz tersebut?
Sehingga kini, tiada sebarang pembelaan yang dibuat oleh pihak kerajaan demi menegakkan keadilan terhadap ribuan peserta yang masih tertanya-tanya berikutan pengumuman tersebut. Kerajaan harus campurtangan dalam menyelesaikan masalah ini bukan sahaja unsur-unsur judi, tetapi juga memperbetulkan dari segi penipuan dan perangkap yang diwujudkan oleh pihak pengajur.
Contohnya kebanyakan penganjur berterus-terang bentuk hadiah yang ditawarkan, seperti 'wang tunai RM100,000', 'kereta jenis XYZ yang bernilai RM120,000', 'pakej melancong ke London untuk dua orang, termasuk wang saku RM5,000 yang bernilai RM10,000' dan pelbagai lagi.
Tetapi kuiz SMS MAXXAMILLION yang dianjurkan oleh pihak TV3 hanya mencatatkan 'hadiah yang bernilai RM500' dalam Game-Pack yang dijual diseluruh negara dan di lamanwebnya.
Ramai peserta tidak perasaan perkataan seumpama itu dan menyangkakan ianya merupakan 'hadiah wang tunai' tanpa membuat sebarang pertanyaan walaupun disediakan talian 'hotline'.
Dalam Game-Pack yang dijual juga menyatakan bahawa untuk makluman lanjut, sila layari lamanwebTV3 tetapi segala yang dinyatakan dalam Game-Pack itulah yang sama sahaja dinyatakan dalam lamanweb di mana peserta dibolehkan bermain seberapa banyak kali dan menang lebih daripada dua kali dalam sehari (semuanya 23 kemenangan sehari).
Dan apabila kuiz telah berjalan lebih dari two minggu, barulah pihak TV3 mengeluarkan iklan sepintas lalu (itu pun ramai yang tidak perasan dan tidak tahu sehingga hari ini) maksud sebenar "hadiah yang bernilai RM500'' hanyalah sebuah 'sunglasses' bagi setiap 18 pemenang masa terpantas setiap hari atau 'pakej percutian ke Cherating 3D/2N' bagi setiap lima pemenang mata tertinggi setiap hari.
Sekiranya diberitahu terlebih awal sudah tentu tidak ada peserta yang akan bermain banyak kali semata-mata untuk mengumpulkan 'sunglasses' atau 'pakej percutian' yang belum tentu nilainya RM500. Tetapi disebabkan pihak penganjur, para peserta bermain bermati-matian dan banyak kali dengan menyangkakan akan memperolehi wang tunai setiap kali menang.
Perkara seperti inilah yang harus diambil perhatian oleh kerajaan dan mengambil tindakan sewajarnya. Kerajaan harus mengarahkan penganjur membayar hadiah yang dinyatakan dalam bentuk wang tunai.
Malahan, kerajaan boleh menggantung lesen penganjur jika menipu atau melanggar undang- undang negara.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.