Deklarasi tujuh kebebasan demi negara
Malaysia dirahmati dengan hasil mahsul tidak ternilai, namun kekal misteri apabila jurang kaya-miskin sangat lebar, kos sara hidup dan kemiskinan meruncing, tahap pendidikan yang corot muncul dari korupsi meluas, ketirisan berleluasa dan ketidakcekapan urus tadbir.
Berlaku juga salah laku kuasa polis, jenayah sosial yang meningkat, ditambah pula kekangan kebebasan bersuara, penahanan peserta himpunan aman dan ahli politik, pemenjaraan wartawan dan pembisuan ahli akademik.
Begitu juga apabila universiti dikilangkan, sekolah jadi penjara, isu perkauman diapi-apikan, demokrasi pincang, rakyat diperbodohkan dan pelbagai musibah yang terus melanda negara.
Menyedari bahawa terdapat penindasan, ketidakadilan dan jurang sosial yang semakin menekan di negara yang dicintai ini, kami sesungguhnya berikrar dengan segala kudrat dalam jasad kami untuk memperjuangkan kemerdekaan rakyat.
Gabungan ini beriltizam menegakkan keadilan yang menyeluruh buat semua rakyat negara ini.
Kami dengan ini menuntut perjuangan tujuh kebebasan demi negara:
Kebebasan bersuara, himpun dan persatuan
- Mansuh Akta Hasutan 1948 dan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang mencabar kedaulatan Perkara 10 Perlembagaan Malaysia.
Kebebasan politik dan demokrasi
- Bebaskan semua tahanan politik dan hentikan pendakwaan terpilih. Ahli politik tidak wajar disekat, diugut atau dipenjarakan secara politik.
Kebebasan urus tadbir dan keadilan
- Mansuh Akta Kerahsiaan Rasmi untuk buka ruang kepada ketelusan urus tadbir negara.
- Kadar kemiskinan mutlak tidak lagi boleh diguna pakai. Gunakan kadar kemiskinan relatif dan wujudkan gaji minimum yang adil dan saksama buat semua.
Kebebasan akademik dan kesihatan
- Berikan pendidikan percuma yang saksama sehingga universiti dan baiki hubungkait antara tenaga kerja tempatan dan piawaian sumber manusia.
- Perkasakan media sebagai ejen semak imbang kepada prinsip pemisahan kuasa negara.
- Tubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Demi negara yang lebih baik, gabungan ini menyeru semua warga untuk menyertai perjuangan ini.
Malaysia milik warganya. Merdeka dan bebaskan rakyat!
GABUNGAN MERDEKA RAKYAT

