MB orders official to seek solutions to save fireflies adalah tajuk utama akhbar The Star pada hari 27 Ogos.

Saya amat sedih dengan cara yang berhormat menteri besar (MB) negeri terkaya di Malaysia ini mengendalikan masalah. Memang masalah habitat 'kunang-kunang' ini telah menjadi tajuk utama perbincangan pencinta alam sekitar sejak dibangkitkan oleh Sultan Selangor.

Tiada badan dan jabatan kerajaan yang bertanggungjawab, mampu menanggani pencemaran kawasan kunang-kunang yang diwartakan sebagai kawasan tarikan pelancong ke Selangor.

Seperti biasa, dalam suasana politik yang serba 'boleh', setiapkali adanya teguran dari orang yang lebih atas, sudah tentu akan yada ang 'tersentak lutut'. Soalnya, mengapa perlu MB berkenaan menghabiskan wang rakyat dengan menghantar semua ahli exco dan ketua jabatan selama tiga malam hanya untuk mencari penyelesaian?

Sebagai pembayar cukai di Selangor, saya ingin tahu berapakah belanjawan untuk tujuan ini? Selain ahli exco, sudah tentu pemandu mereka dan setiausaha mereka akan turut sama. Adakah isteri mereka juga akan turut serta? Berapa banyak kenderaan panduan empat roda dan Mercedes yang akan ke sana dan mencemarkan kawasan sekelilingnya?

Sehubungan itu, bagaimana pula dengan sungai-sungai yang menjadi kawasan takungan air yang tercemar di Selangor? Beberapa hari lepas, saya terbaca tentang takungan air yang tercemar di Taman Pertanian Bukit Cerakah, Shah Alam.

Berapa ramai pula dan berapa hari semua ahli exco dan ketua jabatan akan dihantar menginap di tepi Sungai Selangor (sudah tentu sekurang-kurangnya tinggal di chalet yang selesa) dan di Bukit Cerakah untuk sesi percambahan fikiran bagi menyelesaikan masalah ini?

Saya cadangkan supaya menteri besar berkenaan dan semua ahli dan ketua jabatan belajar tentang '7 QCC tools' yang banyak dipraktikkan di kilang perusahaan untuk menyelesaikan masalah.

Kursus ini mudah dipelajari, murah dan boleh diajar oleh mana-mana pusat latihan yang berdaftar dengan Kementerian Sumber Manusia. Ia tidak memerlukan tiga malam dan tidak membazir wang rakyat.