Contoh telatah menteri besar kita...
Merujuk kepada surat bertajuk Kunang-kunang - satu exco, tiga malam untuk cari penyelesaian? , saya bersetuju sepenuhnya dengan pendapat Haji Afiiq Aziz. Nampaknya menteri besar di negara kita ini, dari masa ke semasa suka menghiburkan rakyatnya dengan berbagai telatah dan jenaka.
Dahulu Sanusi Junid semasa menjadi menteri besar Kedah pernah membuat cadangan supaya padi ditanam diatas bumbung untuk mengatasi masalah tanah. Selepas itu, beliau juga mencadangkan program 'romancing your wives' sebagai langkah meningkatkan lagi kebahagian rakyat dinegeri itu.
Sebelum mengundur diri, beliau sempat membuat cadangan untuk membina sebuah universiti di Langkawi dan dicadangkan supaya universiti itu dinamakan sebagai 'Langkawi University of The Future'.
Shahidan Kassim, menteri besar Perlis pula memang tidak kurang juga dengan telatahnya. Untuk mengatasi masalah kaum Muslim Malaysia ke selatan Thailand untuk berkahwin lagi, beliau mencadangkan supaya mereka singgah sahaja di Perlis untuk tujuan itu dan beliau telah menawarkan bayaran diskaun sebagai galakan.
Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo pula membuat arahan supaya semua ahli exco dan ketua jabatan negeri itu membuat kajian selama tiga malam di sungai di Kuala Selangor untuk mencari penyelesaian masalah pencemaran di kawasan kunang-kunang yang diwartakan sebagai kawasan tarikan pelancong.
Kenapa tidak suruh mereka pergi bertapa di bukit sahaja untuk mendapat ilham yang lebih benas?
Kesemua cadangan ini dibuat untuk menarik perhatian perdana menteri dan ahli-ahli Umno yang lain untuk memberi lebih kepercayaan kepada mereka. terutama semasa pemilihan Umno hampir tiba.
Ini semua mencerminkan betapa 'forward looking' dan 'kreatifnya' menteri besar kita melalui telatah-telatah ini. Namun mereka boleh diterima oleh Umno untuk menjadi pemimpin mereka dan negara ini.
Sekarang fahamlah kita kenapa Pak Lah suka menyebut tentang graduan dari 'Oxbridge' sahaja.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.