Sekadar nasihat kepada penduduk Kampung Baru di Kuala Lumpur atau mereka yang ada saudara mara serta sahabat handai di Kampung Baru.

Sekarang ini sibuk diperkatakan pembangunan di Kampung Baru. Tiada siapa yang menolak pembangunan, malah ianya dialu-alukan. Tetapi hendaklah dipastikan pembangunan tersebut mendatangkan keuntungan serta kebaikan kepada penduduk di Kampung Baru hingga ke anak cucu dan generasi mereka akan datang.

Kita hanya tumpang gembira melihat orang Melayu ada tanah mereka sendiri di tengah-tengah kesesakan ibu kota.

Cuma dinasihatkan agar warga Kampung Baru sentiasa berhati-hati, kerana sudah pasti apabila melibatkan duit jutaan dan 'billion' ringgit tentunya mereka yang kuat iman juga akan tergoda.

Harap penduduk Kampung Baru dapat belajar pengalaman daripada apa yang dihadapi oleh penduduk di kampung saya di Felda Sendayan, Negeri Sembilan.

Dijanjikan berjuta-juta ringgit, akhirnya hidup tidak ketentuan sampai sekarang ini. Semua beban dilepaskan pada menteri besar yang baru Mohamad Hassan.

Untuk makluman semua, rancangan pembangunan Felda Sendayan ini diusahakan oleh mantan menteri besar Negeri Sembilan, Isa Samad.

Kebetulan pula, Isa Samad sekarang ini menjadi menteri Wilayah Persekutuan dan dikira akan memantau pembangunan Kampung Baru.

Minta kerjasama pada penduduk Kampung Baru agar nasihatkan Isa Samad supaya selesaikan dahulu masalah punduduk Felda Sendayan sebelum hendak memajukan Kampung Baru.