Saya tertarik dengan pandangan Mohd Azmi Abdul Hamid dalam suratnya Agenda Melayu perlukan perubahan sikap .

Katanya: '... budaya dan gaya hidup pemimpin elit di kalangan orang Melayu ... terutama yang dijaja oleh Umno tidak sama sekali melambangkan kejujuran yang bersungguh-sungguh untuk merubah nasib bangsa Melayu.

'Jika pemimpin-pemimpin ini tidak secara jujur berusaha mempertahankan kedudukan bangsa Melayu dari segi identiti ke-Islaman, bahasa dan kebudayaan, kami berpendapatan orang Melayu akan terus ditakuk lama dan akan tetap hidup bergantung kepada ihsan pemimpin elit yang sememangnya ingin agar pergantungan itu akan menjadi jaminan untuk mereka terus disokong oleh Melayu bawahan ...'.

Sekali imbas pandangan itu memang sukar disangkal. Tetapi, jika dikaji dengan mendalam, saya tidak fikir yang pemimpin-pemimpin Melayu sejak 1957 tidak jujur memperjuangkan hak, kemajuan dan pembangunan orang Melayu dalam pelbagai segi.

Para pengkaji sejarah umumnya dengan mudah menuduh kekurangan golongan elit Melayu dalam memimpin bangsa mereka. Saya tidak pasti kemunduran orang Melayu dewasa ini di Tanah Melayu adalah kerana kegagalan pemimpin elit mereka atau sikap mereka sendiri atau kedua-duanya sekali.

Pemerhati dari luar masyarakat Melayu dapat merasai, menyaksikan dan kadangkala menyertai kegigihan para pemimpin Melayu membangunkan bangsanya sendiri. Tidaklah adil bagi kita menuduh pemimpin-pemimpin elit Melayu tidak mempedulikan hasil usaha gigih mereka memajukan orang Melayu.

Ini kerana orang Melayu sudahpun mencapai kemajuan dan pembangunan yang munasabah. Jika dibandingkan dengan orang Melayu pada zaman pendudukan Jepun, misalnya, rakan-rakan Cina sezaman mereka akan barangkali terkejut dengan pencapaian orang Melayu dewasa ini.

Memang diakui bukan semua usaha pemimpin Melayu untuk memajukan bangsa mereka itu berhasil. Tetapi ini tidak pula bermakna yang mereka kurang jujur memperjuangkan agenda Melayu sejak 1957.

Apa yang dibuat mereka untuk meletakkan orang Melayu di tingkat yang tertinggi di negara ini mungkin tidak atau belum mencukupi, tetapi saya nampak yang mereka rata-rata bersungguh- sungguh melaksanakan tanggungjawab mereka.

Di samping mengutamakan kebajikan orang Melayu, pemimpin-pemimpin Melayu tidak mengabaikan kepentingan minoriti. Golongan minoriti secara keseluruhannya memahami hasrat pemimpin-pemimpin negara untuk menyamakan pencapaian orang Melayu dengan bukan-Melayu.

Sebab itu mereka tabah menunggu dan menyambut pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru sehingga orang Melayu sekurang-kurangnya mencapai peratusan yang 'menyenangkan' perasaan sekalipun bukan yang 'memuaskan' kehendak bangsa.

Yang ketara pada hari ini orang Melayu masih lemah dalam bidang ekonomi. Kita sudah nampak kegigihan Dr Mahathir Mohamad menggerakkan roda kemajuan orang Melayu. Kini kita perhatikan juga langkah-langkah 'Mr Clean' (Pak Lah) untuk melanjutkan usaha-usaha itu dengan prioriti ditumpukan kepada pelan mengatasi kelemahan-kelemahan masa lalu.

Tak elok kalau kita hanya menuduh pemimpin-pemimpin Melayu Umno hanya mementingkan asas kekuasaan mereka iaitu kemunduran Melayu. Yang nyata pandangan seumpama ini sudah lama meleset.

Bisa tak kita tanya diri kita sendiri: mahu tak kita bekerja bersama-sama pemerintah (dan pembangkang) sekarang untuk mengkaji kelemahan-kelemahan kita yang lampau dan mengorak langkah untuk mengejar pencapaian yang tinggi atau atau lebih tinggi (both material and spiritual)?