Kenyataan Hassan Shukri melampau
Terkejut saya membaca kenyataan Timbalan Presiden PAS Hassan Shukri yang mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah, sedangkan ulama tersohor dunia seperti Yusuf Qurdawi dan Shiekh Taha Jabir Al Wani sendiri pun mengakui yang Anwar tidak bersalah.
Sia-sia sahajalah usaha Almarhum Fadzil Noor yang berhempas pulas berapa tahun sebelum beliau meninggal dunia, cuba meyakinkan seluruh ahli PAS yang ketika itu masih 50-50, antara percaya atau tidak, tuduhan liwat terhadap Anwar.
Sekiranya kenyataan Hassan Shukri itu diambilkira, ini bermakna Almarhum Fadhil Noor, bekas Presiden PAS, pun bersubahatlah dengan peliwat? Ini bermakna penyokong PAS yang selama ini bersimpati dengan Anwar pun turut sama bersimpati dengan seorang peliwat?
Dan ramai juga pimpinan tertinggi PAS yang berdosa besar kerana menyokong dan bersimpati dengan seorang yang rendah moralnya. Dan antara pimpinan PAS yang ada saham dosa itu ialah Murshidul Am, timbalan Murshidul Am, presiden PAS, Dr Hatta Ramli, Dr Lo Lo Ghazali, Mahfuz Omar, ketua Pemuda PAS dan Mohamad Sabu.
Sebenarnya kes penghinaan terhadap pimpinan parti Keadilan ini sudah kerapkali dibuat oleh pimpinan PAS. Lihat sajalah sewaktu menjelang pilihanraya yang lepas, Tuan Guru Nik Aziz dengan selambanya menghina Dr Syed Hussin Ali, timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat dengan menuduh beliau tidak Islamik.
Manakala beberapa ahli Keadilan yang melompat parti, diterima menjadi ahli PAS, sepertimana yang berlaku di Kelantan dan di beberapa tempat lain. Saya yakin semua orang tahu berapa kali parti Keadilan telah dihina dan ditipu oleh beberapa kerat pimpinan PAS di peringkat pusat, negeri, kawasan (bahagian) dan cawangan.
Pesan saya kepada seluruh ahli dan penyokong PAS yang bersimpati dan yang menyokong Anwar, kalau beginilah sikap seorang timbalan presiden yang anda ada, elok tinggalkanlah sahaja parti itu.
Insya-Allah, saya yakin Pemuda Keadilan akan menyediakan kaunter pendaftaran keahlian di pintu masuk ke rumah Anwar apabila beliau pulang ke tanahair di hujung bulan oktober ini.

