Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 31 Julai menyatakan ketetapan bahawa prosiding terhadap 1MDB oleh PAC tidak boleh diadakan tanpa pengerusi baharu bagi menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamad yang telah dilantik sebagai anggota kabinet.

SPRM pula pada petang semalam telah mengesahkan bahawa Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyatakan tiada keperluan untuk ada Pasukan Petugas Khas yang dianggotai secara bersama oleh SPRM, PDRM dan BNM bagi menyiasat isu 1MDB dan skandal yang dikaitkan dengan perdana menteri.

Kesan tekanan daripada luar dan dalam Umno/BN sendiri berhubung isu ini, Datuk Seri Najib Razak melakukan pendekatan ekstrem dan licik dengan menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui rombakan semula kabinet.

Justeru, usaha PAC dan Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat secara adil, menyeluruh dan telus kini terbantut.

Hasil dapatan siasatan sehingga setakat ini juga tidak dapat didedahkan kepada awam berikutan ada sekatan pada aspek perundangan.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila PDRM melakukan serbuan dan tangkapan ke atas pegawai-pegawai SPRM yang mengganggu ketelusan siasatan ini secara menyeluruh dan menjejaskan imej serta kredibiliti SPRM sebagai sebuah suruhanjaya bebas.

Seluruh rakyat mahu tahu apakah kebenaran di sebalik isu 1MDB dan tuduhan ke atas Najib Razak. Jika ia tidak benar, itulah yang menjadi harapan seluruh rakyat. Tetapi, jika ia benar, semuanya mesti didakwa dan dihukum dengan sesungguhnya.

Namun, siapa yang akan menentusahkan kebenaran ini? PDRM kelihatan diperalat, SPRM pula ditekan kuat, Bank Negara Malaysia masih membisu dan PAC pula sedang membeku.


DATUK MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AJK PAS Pusat dan MP Kuala Nerus.