Memang Hassan Shukri tuduh Anwar meliwat
Berita yang bertajuk Murmurs against Anwar within PAS? menarik perhatian kami berdua untuk diulas memandangkan kami adalah antara pemuda PAS yang hadir dalam perjumpaan dengan Hassan Shukri tempoh hari.
Kami amat terkejut dan kecewa dengan apa yang telah dinafikan oleh beliau kononnya beliau tidak membuat kenyataan bahawa saudara Anwar Ibrahim masih lagi tidak bersih dalam kes kesalahan liwat.
Sebenarnya Hassan memang membuat kenyataan sebegitu rupa sehingga beliau menyuruh kami semua jangan tergesa-gesa menyokong saudara Anwar secara membabi-buta kerana menurut beliau, PAS akan menanggung malu nanti apabila saudara Anwar terlibat dalam masalah baru pada masa depan.
Kami amat hairan bagaimana seorang timbalan presiden PAS boleh berpandangan sedemikian rupa. Beliau bukannya pemimpin yang bertaraf ketua cawangan PAS untuk mengeluarkan pendapat sebegitu.
Tambahan pula, secara tidak langsung, beliau telah menuduh saudara Anwar meliwat sedangkan beliau yang menyuruh kami memanggilnya ustaz pun, tentunya mengerti bahawa beliau perlu mengemukakan empat orang saksi yang tidak fasik dalam membuat tuduhan sebegitu rupa.
Kami tidak hairan sekiranya selepas ini apabila saudara Anwar pulang ke tanahair untuk memimpin perubahan di Malaysia, maka akan timbullah pertelingkahan dalaman dalam PAS antara puak ortodok yang diketuai oleh Hassan dan Hashim Jasin (AJK PAS Pusat yang juga rakan karibnya ketika belajar di Iraq) menentang arus majoriti yang mahukan penglibatan yang meluas saudara Anwar untuk memimpin perubahan sistem di Malaysia.
Selagi pemimpin-pemimpin PAS yang ortodok dan jumud seperti ini masih kekal di tampuk kepimpinan parti itu, maka selagi itulah kita akan menyaksikan PAS semakin tertinggal dan jauh dari rakyat.
Senarionya, dalam pilihanraya 2008 nanti, selepas PAS kecundang dalam pilihanraya 2004 lalu, maka, pemimpin-pemimpin ortodok ini akan mengulangi retorik yang sama seperti sekarang bahawa kekalahan mereka bukan kerana rakyat menolak mereka, tetapi semata-mata kerana Barisan Nasional (BN) menipu.
Hanya orang tidak cerdik sahaja yang dipatuk ular kali kedua pada lubang yang sama!


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.