Lawyers for Liberty bimbang dengan rancangan kerajaan untuk membawa 1.5 juta pekerja asing Bangladesh ke negara ini dalam masa tiga tahun akan datang.

Ini lebih membimbangkan apabila Real Time Networking Sdn Bhd, salah satu syarikat yang membida untuk menyediakan sistem pendaftaran dan pengurusan terhadap pekerja ini didapati dimiliki oleh Abdul Hakim Hamidi iaitu adik kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ini jelas menunjukkan konflik kepentingan serta amalan nepotisme yang berlaku.

 

Adakah Malaysia benar-benar memerlukan pekerja ini? Adakah kajian telah dibuat untuk menjustifikasi bilangan pekerja yang diperlukan untuk tiga tahun dan untuk kepelbagaian sektor yang terlibat?

Adakah pekerja ini dibawa hanya untuk membolehkan pihak tertentu mengaut keuntungan daripada mereka?

 

Kita biasa mendengar aduan bahawa Malaysia dibanjiri oleh pendatang tanpa izin dan juga kes penganiayaan dan suasana kerja yang teruk, walaupun untuk pekerja yang mempunyai dokumen sah.

Seharusnya pihak berkuasa menangani aduan serius berkaitan penganiayaan, eksploitasi dan penipuan terhadap pekerja-pekerja asing. Namun mereka mengambil jalan mudah dengan membawa masuk lebih ramai pekerja asing.

Dalam proses itu, kerajaan membenarkan ejen pelantikan, broker, perantara, syarikat-syarikat yang berhubung dengan kedua negara Bangladesh dan Malaysia untuk mengaut keuntungan yang besar daripada pekerja asing yang terdesak dan miskin tersebut.

 

Oleh itu, kami menggesa Kementerian Dalam Negeri untuk berunding dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk Kementerian Sumber Manusia, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia sebelum mengambil apa-apa langkah drastik.

Perlu dinggai, Malaysia sudah ada tenaga kerja yang boleh digunakan – kira-kira 100,000 pelarian dan dua juta pekerja asing yang sudah bekerja di negara ini walaupun tanpa dokumen sepatutnya.

 

Kebanyakan pelarian dan pekerja asing yang bekerja tanpa kebenaran yang sah amat terdedah kepada eksploitasi dan penganiayaan.

Mereka sering dibayar dengan gaji yang lebih murah, ditipu dan diperas oleh majikan dan juga anggota penguatkuasa undang-undang yang tidak bertanggungjawab.

 

Motif dan identiti pihak yang akan memperolehi manfaat ke atas usaha membawa masuk 1.5 juta pekerja asing pastinya wajar diragui.

Maka lebih wajar dan praktikal sekiranya pelarian dan pekerja asing yang sudah ada dan bekerja di negara ini diambil secara sah sebagai pekerja asing – sekali gus memberi pelindungan kepada mereka.


ERIC PAULSEN pengarah eksekutif Laywers for Liberty