SKMM mesti bertindak isu 'senarai 20' antikerajaan
Pendedahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pembangkang dan turut didalangi ahli parlimen kerajaan BN seperti ucapan beliau ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Ampang Sabtu lalu amat memeranjatkan Pemuda Umno Segamat dan perlu didedahkan secepat mungkin.
Pendedahan ini penting bertujuan untuk membolehkan kami menjauhkan diri daripada mereka supaya tidak terpengaruh dengan anasir membelot kerajaan.
Tindakan undang-undang selaras dengan peruntukan sedia ada juga perlu diambil kepada mereka ini bagi menjaga kerajaan yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat Malaysia.
Selain itu pendedahan juga perlu bagi mengelak pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan memainkan isu ini dan terus mengelirukan rakyat.
Tindakan menyebar nama berserta gambar dua puluh orang ahli parlimen yang didakwa menjadi dalang di alam maya baru-baru ini merupakan satu tindakan yang tidak beretika.
Ini menyebabkan Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) menafikan dakwaan ahlinya terlibat dalam komplot menggulingkan kerajaan dan menjelaskan kesemua ahlinya memberi sokongan kepada kerajaan dan parti memerintah.
Pemuda Umno Segamat juga meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang menyebarkan dakwaan komplot itu kerana ia jelas menjatuhkan reputasi ahli parlimen yang tidak bersalah.
Justeru itu, Pemuda Umno Segamat berpendapat bahawa Ahmad Zahid perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan mendedahkan dalang gerakan untuk mengguling kerajaan secepat mungkin.
BASTIEN ONN ketua Pemuda Umno Segamat.

