Most Read
Most Commented
Read more like this

Kekalahan PAS dalam pilihanraya umum lalu menyiat seluruh perasaan ahli dan penyokongnya. Ada yang mengambil keputusan untuk mendiamkan diri daripada aktiviti politik. Sudah tiada tunasnya. Ada yang terus istiqamah membina semula semangat dan keyakinan.

PAS adalah parti Islam, parti yang memperjuangkan Islam, sepatutnya tumpukanlah ke arah memberi kefahaman Islam sebenar kepada rakyat. Bukan Islam sebenar yang ditaja oleh pemimpin parti pemerintah yang tidak sebenar. Rakyat sebenarnya masih terjerat dengan beberapa kefahaman lama yang terpahat di dalam kitab lama yang tidak ada kena mengena dengan realiti pada hari ini.

Contohnya, kita masih terjerat dengan istilah kafir zimmi dan kafir harbi. Pernah di Dewan Rakyat terbit isu ini. Kononnya DAP adalah kafir harbi, kafir yang menentang Islam. Dan Kerajaan PAS Terengganu pada fajar kemenangannya bercadang untuk mengutip kharaj daripada bukan Islam kononnya kerana mereka kafir zimmi.

Menurut Anwar Rifaei (al-Nuzum al-Islamiyyah) istilah zimmi dan harbi adalah istilah ulama-ulama terdahulu di dalam mengklasifikasikan warganegara Islam di negeri-negeri yang baru dibebaskan daripada cengkaman Rom dan Parsi daripada beban cukai yang tinggi yang dipaksa ke atas penduduk di Syria dan Iraq untuk membantu kempen ketenteraan melawan Islam.

Apabila tentera Islam membebaskan wilayah-wilayah ini, maka mereka menukarkan sistem cukai yang zalim itu kepada cukai yang mampu dibayar oleh penduduk dan tidak membebankan mereka. Orang Islam membayar zakat manakala orang bukan Islam memberikan kharaj untuk membiayai pembangunan yang dilakukan oleh pemerintah baru mereka.

Justeru, sekiranya di Malaysia ini sudah wujud sistem cukai yang dipersetujui oleh semua rakyat tanpa bantahan, maka PAS tidak perlu lagi mempekenalkan cukai-cukai baru. Cukup sekadar memperkemaskan sistem yang ada, memerangi rasuah dan penipuan dalam pembayaran cukai di samping memperkemaskan sisitem zakat agar duit zakat diterima oleh orang yang benar-benar memerlukan.

Bukannya mengumpul duit zakat untuk membina bangunan tinggi-tinggi. Perkara kedua yang tidak kurang pentingnya ialah istilah zimmi dan harbi. Zimmi dan harbi merujuk kepada penduduk asal negara bukan Islam yang menerima kedatangan pemerintah baru yang membebaskan mereka.

Ada yang memeluk Islam. Mereka ini diterima sebagai orang Islam. Tidak ada perbezaan antara mereka dengan tentera yang sudah mantap Islam mereka. Kumpulan kedua ialah orang bukan Islam yang menerima dengan hati terbuka kedatangan tentera yang membebaskan mereka daripada kezaliman Rom dan Parsi. Mereka ini dinamakan sebagai zimmi yang bermaksud yang diberi perlindungan.

Golongan yang ketiga adalah golongan mempunyai kepentingan dalam pemerintahan terdahulu. Mereka ini terdiri daripada Umdah (baca sebagai JKKK), para kontraktor, para peniaga dan taikun-taikun yang berkepentingan. Disebabkan itu, mereka terpaksa tunduk kepada pemerintah baru. Bagaimanapun, hati mereka tidak dapat menerima kedatangan tentera Islam.

Manakan tidak. Hilanglah kutipan cukai mereka selama ini. Punahlah segala kontrak yang diberikan kepada mereka. Mereka ini sering menimbulkan masalah di dalam negeri. Menghasut orang ramai agar bangkit menentang kerajaan. Golongan inilah yang dinamakan kafir harbi. Justeru, mereka diperangi bukan kerana mereka kafir. Tetapi kerana mereka membuat onar terhadap kerajaan.

Kita di Malaysia mencapai kemerdekaan menerusi rundingan dengan pihak British. Setuju atau tidak dengan realiti ini, kita terpaksa menerimanya. Walaupun ada penentangan, golongan yang menentang itu tidak dilayan oleh British. Sehubungan itu, tidak ada golongan zimmi atau harbi di Malaysia. Kita semua adalah warganegara Malaysia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini jugalah yang disebutkan oleh Majalah al-Mujtama dalam satu rencananya al-Masihiyyun al-Aqbat: Muwatinun La Zimmiyyun ketika menyifatkan orang Kristian Koptik Mesir adalah warganegara dan bukannya golongan zimmi. Begitu juga dengan hukum hudud. Kadangkala PAS tidak melihat hukuman itu secara universal.

Contohnya ialah hukuman riddah (murtad). Ketika berkempen untuk menjustifikasikan undang-undang riddah, ada beberapa kerat pemimpin yang mengambil contoh Aishah Bukhari. Sedangkan mengambil contoh Aishah Bukhari yang dikatakan murtad, tidak boleh dijadikan alasan untuk memperkenalkan undang-undang riddah.

Al-Imam Ibnu Rushd di dalam Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtasid mengatakan bahawa: Adapun yang dibunuh kerana murtad adalah lelaki dan mengiklankan (menyebarkan) bahawa dia telah murtad (untuk mempengaruhi orang lain dan menimbulkan huru-hara). Manakala wanita

yang murtad hanya dipenjarakan. Hukuman murtad perlu dilihat dari segi keselamatan dan ketenteraman dalam negara.

Orang yang murtad tidak boleh dibunuh sebarangan. Mereka yang murtad secara senyap-senyap tidak boleh dibunuh. Mereka yang murtad dan didapati murtad oleh pemerintah, maka pemerintah hendaklah memanggil mereka untuk diberi kaunseling dan nasihat serta diminta bertaubat.

Sekiranya mereka enggan bertaubat, mereka hendaklah dibicarakan dan sekiranya masih enggan kembali, mereka boleh dikenakan tahanan daerah ataupun kediaman terhad ataupun penjara. Begitu juga dengan hukuman zina. Hukuman rejam dengan batu (bukan sula dengan lembing seperti di dalam filem Semerah Padi) dan juga sebatan, perlu diperjelaskan betul-betul. Penzina yang dijumpai sudah berzina dan terkapar keletihan, tidak boleh dihukum had kerana saksi tidak nampak mereka berzina.

Bukti sahaja tidak mencukupi dalam hukuman hudud. Bukti mesti disertai dengan saksi. Justeru, kedudukan saksi amat penting. Walaupun perempuan itu terbukti sudah mengandung hasil persetubuhan haram, hukuman hudud masih tidak boleh dilakukan sepertimana di dalam peristiwa seorang wanita al-Ghamidiyyah. Namun, ini tidak bermakna wanita itu terlepas daripada hukuman.

Wanita yang didapati berzina dan didapati bersalah dengan bukti-bukti yang mencukupi (tanpa saksi) perlu dihantar ke pusat perlindungan agar kebajikan diri dan anaknya terjaga. PAS sepatutnya menghidupkan semula markas tarbiyyah di setiap daerah memberi kefahaman kepada ahli PAS tidak fanatik. Agar penyokong PAS lebih toleran dengan bukan Islam.

Begitu juga halnya dengan perjuangan PAS membantu sekolah agama (SAR). Kalau kita benar-benar mahu mencipta sistem pendidikan alternatif Islam, jangan bergantung kepada kerajaan Umno.

Carilah sumber kewangan sendiri memajakkan tanah pertanian, menyewa bangunan, perkhidmatan pengangkutan dan lain-lain yang dapat memberi sumber kewangan tetap pada sekolah berkenaan. Kita berkata kerajaan tidak suka kepada SAR, tetapi kita masih merayu kepada mereka.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS