Adnan Yaakob nak membela agenda Melayu?
Saya terpanggil untuk mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob mengenai politik wang dalam Umno dalam Utusan Malaysia bertarikh 2 Okt yang berbunyi:
"Kalau ada bukti pun, saya tidak akan tampil ke hadapan, sebab saya tidak mahu kawan-kawan saya sulit disebabkan oleh saya dan saya tidak mahu melihat kawan-kawan saya lucut jawatan."
Katanya lagi:
"Saya tidak akan kemukakan kalaupun saya ada bukti dan yang mustahaknya, kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk mencari mekanisme yang terbaik menangani masalah ini."
Bagaimanakah hendak membela agenda Melayu sekiranya Umno masih bergelumang dengan politik wang? Dan kenyataan menteri-menteri yang kalah dalam perebutan jawatan naib presiden dan majlis tertinggi baru-baru ini, mengesahkan betapa sinonimnya Umno dengan politik wang.
Bagi kita yang sihat, adalah perlunya menggerakkan pemikiran dan perjuangan mengikut kemampuan kita, khususnya dalam mengajak masyarakat mengetahui idea-idea baru untuk menuju revolusi nilai yang telah rosak.

