Nampaknya Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak dapat menerima hakikat bahawa beliau hampir disingkirkan daripada barisan Naib Presiden Umno baru-baru ini. Sehingga hari ini, (lihat Utusan Malaysia dan Berita Harian ), masih ada kenyataannya mengenai politik wang berlaku di dalam pemilihan baru-baru ini.

Walaupun beliau meminta Lembaga Disiplin bertindak proaktif tetapi hakikat sebenarnya Muhyiddin sudah mula 'sasau' kerana tidak dapat menang dengan undi tertinggi.

Selain Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang cukup kerap bercakap pasal politik wang, kini Muhyiddin nampaknya seperti 'berpakat' dengan Adnan mahukan 'tindakan dikenakan terhadap mereka yang menang' lebih cemerlang daripada dirinya.

Beliau akan berhenti bercakap mengenai politik wang apabila beliau menang di tempat pertama. Muhyiddin tidak tahu, di bawah sekarang orang bercakap untuk 'mengenepikannya' dalam pemilihan tiga tahun akan datang.

Kata mereka, Muhyiddin seorang pemimpin yang tidak ingat kawan. Setiap kali tiba musim pemilihan, Muhyiddin akan berkawan dengan orang baru. Kawan-kawan lamanya tercicir.

Jangan asyik meminta perwakilan menilai kerjanya tetapi dalam masa yang sama, Muhyiddin juga perlu menilai hati dan perasaan perwakilan.

Pada tahun 2000, Muhyiddin menduduki tempat kelima percalonan. Tempat pertama Dato' Seri Najib Tun Razak, kedua Dato' Abd Ghani Othman, ketiga Tan Sri Abu Hassan Omar dan keempat Datuk Seri Osu Sukam, keenam Tan Sri Muhammad Muhd Taib, ketujuh Syed Hamid Albar, diikuti Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Apabila undi Muhyiddin mengatasi undi Abdul Ghani, Osu dan Abu Hassan, tiada siapa pun menimbulkan cerita politik wang.

Kenapa, bila kali ini, Muhyiddin yang mengharapkan undi tertinggi, setelah mendapat percalonan tertinggi, jadi 'sasau' bila ada orang lain mengatasi undinya. Melayu mudah lupa, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perwakilan bersimpati dengan Muhyiddin kerana Perdana Menteri menampakkan sokongan terhadapnya. Tetapi, ini tidak bererti Muhyiddin tidak perlu lagi berjumpa perwakilan dan meminta undi daripada mereka.

Cukuplah bercakap soal politik wang. Bersiap-siaplah untuk turun padang pada tahun 2007. Mungkin ketika itu beliau akan digantikan dengan muka baru. Mungkin Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, mungkin Datuk Ahmad Zahid Hamidi atau mungkin juga calon dari Johor, Dato' Hishammuddin Tun Hussein.

Belajarlah daripada sikap Pak Lah yang berkawan dengan setiap golongan walaupun kumpulan marhein. Begitu juga Najib. Walaupun beliau anak Perdana Menteri, tetapi kawan-kawannya adalah daripada semua golongan.