Akhbar The Star telah menemuramah calon-calon jawatan naib presiden beberapa hari sebelum perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

Bukan main lagi masing-masing memperkatakan ciri-ciri dan nilai-nilai mulia seorang pemimpin dan 'mengingatkan' ahli-ahli supaya mengundi calon yang berwibawa. Semuanya mengeji politik wang dan berjanji akan membenteras gejala ini.

Tetapi, yang paling menarik perhatian saya ialah seorang calon yang menceritakan beliau adalah pemimpin yang tidak teragak-agak untuk menegur atau bersuara jika mendapati berlaku salahlaku atau sebarang keputusan yang beliau rasakan tidak betul.

Sekarang pemimpin ini jugalah yang mencanang amalan politik wang semasa perhimpunan tersebut, tetapi tidak mahu melapor apatah lagi mendedahkan suspek beliau. Bolehkah kita terima alasan beliau yang tidak mahu menjejaskan karier kawan-kawan?

Masa ditemuramah bukan main lagi. Sekarang? Kalau salahlaku pembangkang bukan main lagi bisingnya, tetapi kalau satu parti, banyak pula alasannya.

Seperti surat saya yang lepas hanya Umno yang boleh memusnahkan Umno. Selain politik wang, pemimpin yang 'cakap tak serupa bikin' juga boleh memusnahkan parti Umno.