Kebimbangan terhadap keangkuhan Barisan Nasional (BN) jelas terlihat apabila Menteri Besar Terengganu, Idris Jusoh mengeluarkan kenyataan untuk menjadikan negeri itu 'sifar pembangkang' dalam pilihanraya umum akan datang.

Kalangan pemimpim PAS menghentam kenyataan sebagai 'kebudak-budakkan dan angkuh'. Ini bukan kali pertama pemimpim BN dari peringkat menteri besar mengeluarkan kenyataan yang angkuh ini.

Sejurus sebelum pilihanraya umum lalu, Menteri Besar Selangor Mohd Khir Toyo turut mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Hakikatnya, bukan sahaja hasrat Khir Toyo tidak kesampaian, malahan wakil rakyat yang terpilih daripada DAP mampu meningkatkan perwakilannya di Dewan Undangan Negeri Selangor daripada seorang (Teng Chang Khim Sungai Pinang) kepada dua orang (termasuk Ng Swee Lim Sekinchan).

Lebih-lebih lagi, kerusi tambahan DAP di Sekinchan itu adalah bersebelahan dengan kerusi Khir Toyo sendiri dan kedua-keduanya terletak di bawah kerusi Parlimen yang sama. Berikutan kegagalan ini, Khir Toyo dilaporkan naik angin dengan menolak kesilapan ini kepada MCA Selangor.

Apapun, peringatan dan pengajaran ini harus dipandang berat oleh Idris yang baru sahaja memegang tampuk kepimpiman kerajaan Terengganu daripada PAS. Ikhtibar harus diambil bahawa selalunya mereka yang angkuh dengan hujah 'pembangkang sifar', akan menerima padahnya.

Segala hujah Idris yang berbunyi sedemikian bukan sahaja tidak menampakkan beliau sebagai seorang yang matang, malahan akan menonjolkan beliau lebih bersifat 'politikus' yang hanya pandai beretorik.

Sama ada kenyataan beliau bersifat kebudak-budakan atau tidak, apa yang penting untuk Idris ialah melaksanakan janji-janji BN semasa pilihanraya lalu untuk merealisasikan sebuah kerajaan yang bersih, cekap, beramanah dan mesra rakyat.