Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers
Dua strategi untuk wujud keamanan di selatan Thailand

Thailand bergolak semula. Sekali lagi satu jumlah yang cukup besar terbunuh. Namun pemimpinnya tidak dapat memberikan alasan yang munasabah bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku. Alasan-alasan yang tak masuk akal seperti "mati kerana berpuasa" yang diberikan (saya tak pernah dengar manusia mati kerana berpuasa kecuali dia berpuasa untuk mati atau apa yang dikatakan sebagai mogok lapar).

Insiden yang berlaku di Tak Bai dengan jelas membuktikan kelemahan kepakaran pihak berkuasa Thai dalam menguruskan hal-ehwal keselamatan dalam negara, terutama dalam isu-isu yang melibatkan rakyat selatan Thailand.

Thailand harus faham, dalam usaha menangani keganasan, kerajaan harus gunakan dua strategi yang betul iaitu memerangi pengganas dan pada masa yang sama memenangi hati rakyat di kawasan yang telah dikenalpasti sebagai kawasan hitam.

Selagi dua strategi ini tidak digunakan secara selari, selagi itulah kempen memerangi keganasan tidak akan mencapai matlamat. Memenangi hati rakyat bukanlah satu perkara yang mudah. Melawat kawasan, belum tentu cukup untuk mendamaikan hati yang sedang memberontak.

Pembangunan ekonomi dan pendidikan adalah satu senjata yang cukup baik untuk menyejukkan hati. Perut yang kenyang kebiasaannya tidak akan memberontak tetapi akan berusaha dengan lebih cergas untuk memastikan ia tidak kelaparan lagi. Malangnya tidak banyak usaha ke arah itu yang dibuat oleh kerajaan Thai. (Kemiskinan telah di kenalpasti sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada keganasan).

Memerangi pengganas bukan bermakna dibolehkan menembak mati membabi-buta begitu sahaja (seperti mana yang dilakukan dalam usaha membanteras penyeludapan dan pengedaran dadah di mana kira-kira 2,000 individu ditembak mati dalam masa tiga bulan di Thailand) tapi ia melibatkan kebolehan "perisikan" menjejaki individu yang terlibat dalam aktiviti keganasan dan mengambil tindakan, sebelum keganasan itu berlaku.

Apa yang berlaku di Tak Bai adalah berlainan sama sekali dan ia lebih menjurus ke arah penghapusan etnik walaupun ia tidak nampak secara ketara. Meletakkan seluruh masyarakat Islam dalam satu guni dan melabelkan mereka sebagai pengganas adalah satu tindakan yang tidak wajar. Tidak ada agama di dunia ini yang mengajar pengikutnya melakukan keganasan. Tindakan individu tidak patut disamakan dengan nilai-nilai ajaran agama.

Kalau tindakan individu dikatakan kerana ajaran agama, maka semua agama di dunia ini melahirkan pengganas kerana aktiviti keganasan berlaku dalam semua kumpulan masyarakat.

Pada 1983, apabila kerajaan Sri Lanka merestui (secara tidak rasmi) tindakan tenteranya membunuh masyarakat Tamil Sri Lanka tanpa belas kasihan (lebih kurang 2,000 masyarakat Tamil telah ditembak mati dalam tempoh masa tiga minggu tragedi tersebut) mereka bangkit menentang penindasan tersebut dengan lebih agresif.

Malah mereka yang tidak bersetuju dengan LTTE sebelum tragedi tersebut, telah bersimpati dengan pembunuhan tersebut dan memberikan bantuan kepada LTTE untuk berdepan dengan tentera Sri Lanka.

Keadaan yang sama akan turut berlaku di selatan Thailand. Pembunuhan beramai-ramai akan mewujudkan simpati dan pengaliran bantuan kepada kumpulan yang terlibat dalam aktiviti keganasan. Malah mereka yang tidak merestui keganasan, akan tergerak hati untuk menyokong kumpulan pengganas.

Ini kerana telah wujud satu persepsi di kalangan rakyat di selatan Thai bahawa kerajaan tidak boleh dijadikan payung untuk berteduh. Mereka telah hilang kepercayaan kepada janji-janji kerajaan untuk melindungi rakyat. Kepada siapakah mereka akan mencari tempat berteduh, kalau bukan kepada kumpulan pengganas? Malah akan wujud kepercayaan, kumpulan pengganas ini, benar-benar berjuang untuk bangsa dan agama dan boleh dipercayai.

Kalau kerajaan sendiri bertindak secara 'gila' sudah tentu hati yang sedang memberontak akan bertindak dengan lebih ganas. Kemungkinan besar Thailand sedang menuju ke arah perang saudara yang bakal menyaksikan pembunuhan dan kematian yang lebih dahsyat.

Kesedihan yang paling pedih bagi seorang bapa dan ibu ialah melihat pengebumian anaknya. Takziah kepada mereka yang terkorban.

ADS