Saya melihat terdapat perkembangan yang mengatakan bahawa Ezam Mohd Noor dan Azmin Ali berusaha untuk menggerakkan usaha kemasukan semula Anwar Ibrahim ke dalam Umno.

Saya adalah antara reformis yang mengikuti perkembangan perjuangan Anwar sejak dari zaman Abim lagi sehinggalah sekarang ingin berkongsi pandangan mengenai kebenaran usaha yang dijalankan oleh Ezam dan Azmin untuk membawa Anwar kembali ke pangkuan Umno melalui kerjasama erat dengan Khairy Jamaludin.

Saya tidak mahu menyalahkan Ezam dan Azmin berhubung usaha tersebut, kerana hujah mereka masih berpaksikan perjuangan merubah sistem yang korup dalam negara ini dan apabila Anwar kembali kepada Umno dan memegang tampuk kuasa dalam parti itu, dan seterusnya Malaysia, maka beliau akan mampu membuat perubahan total.

Cuma saya amat gusar tentang peratus kejayaan perancangan seperti itu kerana bagi saya pemimpin Umno bukanlah mereka yang mudah dipermainkan. Terdapat berpuluh 'kumpulan pemikir' yang mengelilingi Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak, yang sentiasa membaca dan membuat kajian terhadap perkembangan politik, khususnya pasca pembebasan Anwar.

Sudah tentu Anwar akan dipermainkan oleh pemimpin tertinggi Umno sesudah Anwar berjaya meningkatkan sokongan sesuatu kem dalam Umno, dengan menyekat dan membunuh terus karier politik Anwar sebagai gurka Umno.

Saya beranggapan demikian kerana pengalaman lepas tentunya boleh mematangkan Anwar apabila semua pihak, termasuk Barisan Nasional dan Barisan Alternatif ingin bekerjasama dengannya kerana karismanya yang tinggi yang mampu menyumbang kepada sokongan rakyat.

Tetapi Anwar selalu ditipu, contohnya oleh Dr Mahathir Mohamad sendiri apabila Anwar ditendangnya ketika beliau hanya setakuk lagi hendak mencapai status sebagai perdana menteri.

Saya bimbang Anwar akan mengalami nasib yang sama apabila beliau termakan dengan berijtihad sekali lagi untuk kembali merujuk kepada Umno. Saya amat berharap semoga Anwar dapat kekal terus bersama gerakan BA dan NGO yang reformis untuk berjuang ke arah reformasi total dalam negara.

Bagi saya, tiada jalan pintas untuk ke puncak kuasa. Anwar sudah berkorban selama enam tahun dalam penjara. Maka tentunya beliau boleh bersabar dua hingga tiga tahun lagi menjelang pilihanraya umum yang akan datang untuk merampas kuasa dari BN secara sah.

Untuk merealisasikan perkara sebegini, Anwar perlu menggerakkan gelombang perubahan secara menyeluruh ke jiwa pelbagai lapisan rakyat dan mempertahankan sampai ke tempoh pilihanraya agar gelombang itu tidak hanya sekadar menghakis pantai tetapi lebih dari itu yang mampu menjatuhkan kerajaan BN.

Di samping itu, Anwar melalui pengaruhnya yang besar di mata dunia, perlu memainkan peranan ke arah pemulihan sistem demokrasi kita dalam menyediakan padang perlawananan yang sama rata.

Saya yakin Anwar mampu bergerak ke arah itu dan akhirnya kerajaan BN terpaksa menerima tuntutan pemulihan demokrasi dari negara-negara yang menyumbang kadar FDI (foreign direct investment) yang besar kepada Malaysia dan juga melalui tekanan daripada PBB.

Satu aspek lagi yang perlu diberi perhatian ialah aspek kekuatan kewangan BN yang terus-terusan berjaya membeli undi. Gerakan BA perlu mengkaji dengan mendalam tentang strategi yang sesuai dan praktikal untuk menyekat dan memusnahkan kekuatan kewangan BN. Apabila BN lemah dari segi kewangan, percayalah bahawa ia telah menghampiri zaman kemusnahannya.

BA itu sendiri perlu diperkuatkan organisasinya yang mempunyai hirarki kepimpinannya dengan diketuai oleh Anwar dan dibantu oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai timbalan pengerusi BA. PAS dan DAP sudah tentunya akan dirapatkan kembali dalam BA melalui kuasa timbangtara Anwar.

Di samping itu juga, BA perlu berusaha menarik semua parti pembangkang yang lain untuk turut serta berada di dalam BA. Realiti politik di Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian khusus oleh BA demi memecahkan kekuatan BN di dua negeri tersebut.

Seterusnya BA akan bergerak ke arah menanamkan kepercayaan ke dalam mentaliti rakyat bahawa BA adalah alternatif kepada BN yang dapat menyediakan kesejahteraan dan kestabilan serta perpaduan yang jitu kepada rakyat lebih baik daripada BN.

Saya percaya Anwar dengan pendekatan tidak berkonfrantasi kali ini melalui gagasan BA akan berjaya mencapai kemenangan dalam pilihanraya umum yang akan datang.