Berita malaysiakini mengenai pembelian tujuh buah Mercedes oleh pentadbir dan pemimpin PAS Kelantan hanyalah satu daripada contoh 'kehebatan' dasar pengurusan kerajaan PAS Kelantan.
Sebelum ini, banyak juga dasar-dasar lain yang kadang-kadang aneh, melucukan, songsang dan kurang kena pada tempatnya yang dilaksanakan kerajaan negeri ini.
Dalam keadaan kewangan negeri yang tenat, dengan kedudukan ekonomi yang goyang, kerajaan negeri mengumumkan 'bonus' sebulan setengah gaji kepada kakitangan negeri berbanding sebulan gaji sahaja yang diumumkan kerajaan pusat. Orang kata, biar papa asal bergaya.
Untuk menampung kewangan juga, kerajaan negeri pernah bercadang untuk menebang balak di kawasan hutan simpan sebagaimana yang heboh baru-baru ini. Bukankah ini juga sangat bertentangan dengan trend melestarikan alam di seluruh dunia.
Berbalik kepada isu pembelian Mercedes ini, Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM) melihat wujudnya beberapa persoalan serius yang perlu dijawab oleh kerajaan negeri, khasnya Haji Husam Musa.
Persoalan pertama, benarkah wujud sebarang pekeliling atau arahan pihak Perbendaharaan berkaitan kebenaran untuk membeli kereta mewah import selepas dasar pembelian kereta nasional sebagai kenderaan rasmi diwujud dan diselaraskan di peringkat pusat suatu ketika dahulu?
Bukankah dasar itu diselaraskan sama ada di peringkat pusat mahu pun negeri? Sekiranya tidak sedemikian, sepatutnya difahami bahawa dalam usaha negara mengatasi pengaliran ke luar wang asing dan meningkatkan pembelian kereta tempatan, maka pembelian kenderaan rasmi mewah import sangat tidak wajar.
Perkara ini menjadi lebih tidak wajar dan mungkin juga 'kurang cerdik' apabila kereta rasmi yang dibeli terdiri daripada kereta 're-cond'. Sehebat mana pun jenama sesebuah kenderaan 're-cond', namun sudah pasti tidak dapat diperbandingkan dari segi keefisienan selenggaraannya, jika hendak dibandingkan dengan sebuah kereta baru. Janganlah lupa bahawa kita selalu juga melihat kereta mewah 're-cond' ini tersadai di tepi jalan.
Demi mengekalkan statusnya sebagai orang terhormat, kumpulan PAS ini nampaknya masih mengekalkan mentaliti lama, dalam masa perdana menteri Malaysia sendiri pun menggunakan kereta Proton Perdana untuk menjalankan tugas rasmi beliau. Begitu juga dengan semua menteri. Tidak pula keluar berita kereta rasmi Menteri A rosak semasa dalam perjalanan bertugas.
Oleh itu, KPPM berharap supaya kerajaan negeri Kelantan memikirkan semasak-masaknya sebarang keputusan penting dan melibatkan duit rakyat pada masa depan.
Lagi pula, bukankah kurang manis bagi sebuah kerajaan negeri bernuansa Islamik dilihat begitu silau dengan barangan mewah umpama kereta jenama Mercedes-Benz.
Lebih-lebih lagi, rakyat Kelantan akan menganggap pemimpin dan pentadbir negeri sudah terlupa bahawa Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat telah memotong sekian peratus gaji dan elaun bulanannya atas dasar penjimatan kewangan negeri.
Nampaknya pengorbanan Tuan Guru hanya sia-sia.
Penulis adalah Setiausaha Agung Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM).
