Bukanlah suatu yang baru bagi Malaysia untuk mengetuai usaha keamanan sejagat dan serantau.

Dan apabila Kerajaan Malaysia dilantik menjadi Pengerusi Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) dan juga Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) baru-baru ini, ia menjelaskan amanah besar dunia terhadap negara kecil ini.

Komitmen kerajaan terbukti lagi dalam isu Palestin dan Iraq apabila mengadakan mesyuarat tergempar di peringkat menteri dan melibatkan para pegawai diplomat untuk menghasilkan suatu persetujuan bersama terhadap apa yang berlaku di Iraq dan Palestin muktakhir ini.

Hasilnya, delegasi menteri negara anggota OIC yang diketuai oleh Dato Syed Hamid Albar selaku Menteri Luar Negeri Malaysia, mengadakan pertemuan dengan tiga daripada empat pihak (kuartet) Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah dan Rusia pada bulan Mei yang lalu.

Anggota kuartet tersebut telah mengariskan satu 'pelan damai' dalam usaha membawa keamanan kepada konflik Israel-Palestin. Antara delegasi OIC yang turut terbabit dalam pertemuan tersebut termasuk Abdul Aziz Abu Ghosh (Ketua Penolong Setiausaha OIC), Cheikh Tidinani Gidio dari Senegal, Abbas El Fassi dari Maghribi dan Saeb Erkat (Ketua Perunding Pihak Berkuasa Palestin).

Kemudian, rombongan delegasi OIC yang sama turut mengadakan pertemuan bersama Collin Powell, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), di Washington baru-baru ini bagi menyatakan sokongan mereka bagi penyelesaian dua negara terhadap konflik Israel-Palestin dan menekankan pentingnya peranan AS dalam merealisasikan pelan damai. Dalam kesempatan yang sama juga, delegasi tersebut menyatakan sokongan terhadap penyerahan terhadap kedaulatan di Iraq pada 30 Jun 2004.

Persoalannya, apakah cukup peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan melalui menteri dan para diplomat dalam mengendalikan isu antarabangsa yang melibatkan kepentingan negara. Dimanakah pula peranan rakyat biasa negara ini dalam menjaga kepentingan dan hak umat sejagat untuk hidup aman makmur di dunia ini tanpa mengira warna kulit, bangsa, agama mahupun budaya?

Adakah cukup sekadar menjadi 'pemerhati setia tanpa jemu' di media semata-mata. Cukupkah kita sekadar bersembang-sembang sahaja saban hari sebagai rakyat biasa di kedai makan, bilik mesyuarat tempat kerja, pasaraya, pasar atau aktiviti sosial hujung minggu kekeluargaan dan banyak lagi.

Sudah pasti dalam kita memahami isu pergolakan politik antarabangsa yang lebih serius, peranan badan bukan kerajaan (NGO) perlu digerakkan secara tersusun. Rakyat juga berupaya untuk menyumbang kepada proses tersebut melalui partisipasi proaktif dalam pelbagai badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang membincangkan aspek ini dalam kegiatan mereka.

Kehadiran sejumlah kehadiran badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini, sudah tentu banyak membantu memberikan pendidikan kesedaran tulen dan komitmen tinggi terhadap isu antarabangsa di kalangan rakyat.

Kehadiran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Center For Peace Initiave (Cenpeace), Pergerakkan Keadilan Sedunia atau Just World Movement (JUST), Third World Network (TWN), Citizen International (CI), Malaysian Sociological Research Institute (MSRI), Consumer Assosiation of Penang (CAP) dan banyak lagi adalah sejumlah kecil daripada wujudnya pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang komited terhadap kesan negatif globalisasi, pencabulan hak keamanan sejagat kepada kehidupan rakyat global yang tidak berteraskan prinsip keadilan sejagat tanpa mengira bangsa, agama dan benua mahupun negara.

Sejarah juga telah menunjukkan bahawa, apabila rakyat bersatu dalam isu antarabangsa, ia dapat memberikan impak kepada suasana semasa dalam negara mahupun sikap kerajaan di luar negara khususnya melibatkan isu-isu antarabangsa.

Konsep badan gabungan melibatkan pelbagai pihak seperti Barisan Bertindak Bosnia (BBB) pada awal tahun 1990-an dan kini, melalui Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (AMAN Malaysia) yang diwujudkan ketika perang Iraq ingin meletus dan perhimpunan besarbesaran ketika persidangan NAM di Kuala Lumpur, Revolusi Pemikiran Rakyat (REVO) digerakkan ketika Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) juga di Kuala Lumpur, Global Peace Malaysia (GPM) yang ditubuhkan pada 26 September 2001 melibatkan 78 NGO Malaysia selepas Tragedi 11 September, 2001 dan sebagainya harus dimanfaatkan secara berkesan.

Pendidikan Keamanan, atau Peace Education, adalah jalan penyelesaian jangka pendek dan panjang dalam membolehkan generasi muda turut faham fenomena global yang berlaku dewasa ini. Tidak cukup sekadar berhimpun, bersorak, mengutuk penindasan dan lain-lain. Acap kali, ia adalah 'ubat segera' untuk mengerakkan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Jadilah ia semacam suatu 'pesta keseronokan' yang belum tentu mengerakkan komitmen diri yang lebih tinggi terhadap perubahan global yang bermakna.

Yang untung, dalam suasana begitu, sudah tentu, individu, mahupun syarikat yang mempromosi produk demi keuntungan komersial semata-mata. Dan belum tentu, mereka menyumbang serba sedikit dana keuntungan produk tersebut untuk kerja-kerja kemanusiaan yang serius. Kesengsaraan orang lain dijadikan batu loncatan mengaut keuntungan kerana perubahan mood pengguna serta peluang pasaran yang ada.

Apapun yang jelas, pendekatan begitu, walaupun popular, ia tidak menjadi suatu momentum luar biasa gerakan keamanan sepanjang masa dengan impak sosial yang menyeluruh. Ia selalunya tertakluk kepada isu yang bermusim. Media pula memainkan peranan ini (bermusim), yang kadangkala terlalu disensasikan fakta tertentu walaupun kadang kala tidak perlu. Timbul beberapa persoalan, adakah kebencian terhadap keganasan tentera Amerika sahaja yang ingin ditonjolkan dan disemai di kalangan anggota masyarakat negara ini.

Apakah dengan membenci tentera AS akan mampu untuk menghasilkan sikap anti-perang yang tulen di kalangan masyarakat? Bukankah tentera AS hanyalah alat bawahan kepada suatu dasar yang dihasilkan oleh golongan neokonservatif yang berkuasa di Rumah Putih. Jika pun kita tidak membenci tentera AS, apakah kita berjaya untuk memisahkan diri daripada menjadi 'pelanggan setia' kepada produk-produk pengguna yang jelas ada kaitan dengan rakan-rakan golongan neokonservatif ini.

Neokonservatif tidak hanya mereka yang menguasai polisi dasar luar negara AS tetapi juga golongan zionis yang terus membiayai polisi tersebut. Dan sudah pasti rakan-rakan neokonservatif ini terdiri daripada pelbagai jenis syarikat transnasional yang melabur dalam pelbagai sektor, termasuk hal yang berkaitan produk kegunaan harian kita.

Benar, keadaan sebegini akan memeningkan. Setiap yang berlaku, ada rangkaian kepada sesuatu yang lain. Mungkin, jika dilihat secara kasar seolah-olah tidak ada kaitan. Kekuatan ketenteraan dan produk pengguna apa kaitan? Tetapi ia memerlukan pendidikan yang serius untuk memahami fenomena globalisasi ini. Siapa yang menguasai dan siapa pula dikuasai! Dan selalunya, hanya sekelompok kecil sahaja akan menguasai yang ramai.

Yang pasti, sudah sampai masanya kita memikirkan tentang persoalan kehidupan selepas sesuatu kemusnahan dengan lebih mendalam. Ia boleh sahaja disebabkan peperangan, bencana alam, tekanan ekonomi global dan sebagainya. Kisah-kisah manusia yang berwatak 'luarbiasa' dalam menongkah arus kemiskinan, penderitaan di 189 negara perlu juga dipaparkan. Tidak cukup kesengsaraan hasil peperangan sahaja dipaparkan secara berlebih-lebihan. Banyak kesengsaraan juga boleh berlaku tanpa peperangan seperti manipulasi ekonomi, perdagangan, boikot serta sebagainya.

Biarlah ia menjadi contoh tauladan untuk generasi muda dalam mengharungi arus kehidupan yang semakin mencabar dan diserang dari pelbagai sudut oleh faktor globalisasi negatif dalam suasana iklim dunia kapitalis global yang semakin bermaharajalela ini.

Pendidikan Keamanan (atau Peace Education) harus mendidik bahawa setiap lapisan masyarakat boleh menyumbang kepada proses keamanan sejagat mengikut kefahaman, keupayaan serta peluang yang ada di sekeliling hidup mereka.

Kanak-kanak kecil, peniaga pasar malam, pekerja am, pemandu teksi, pekerja kilang, aktivis NGO, orang tua, ahli sukan, buruh, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya boleh sahaja menghasilkan sesuatu yang kreatif, dinamik dan inovatif dalam menyatakan pandangan, sikap dan nilai terhadap isu keamanan dan keadilan yang semakin meruncing di sesetengah negara mahupun benua di dunia ini.

Pendidikan Keamanan yang berjaya sudah tentu akan melahirkan masyarakat yang amat menghargai keamanan, memperjuangan keamanan secara serius dan konsisten serta melebarkan konsep berkasih sayang kepada pelbagai anggota masyarakat sama ada di dalam negara mahupun diluar negara.