Debat perpaduan: Osman Kering yang menang
Banyak ulasan telah dibuat mengenai Debat Perdana di RTM1 pada hari Ahad. malaysiakini melaporkan debat yang sepatutnya berkisar mengenai tajuk perpaduan, telah bertukar menjadi debat politik antara Mahfuz Omar dan Annuar Musa.
Pada saya, ianya terjadi sedemikian kerana gelagat moderatornya Johan Jaaffar yang sememang dari mula-mula siri ini diperkenalkan, sehinggalah hari ini masih lagi meneruskan sikap berat sebelahnya dalam menjalankan tugas.
Beliaulah yang telah 'provoke' Mahfuz dan Annuar, malah N Siva Subramaniam dan Dr Wee Ka Siong dari MCA, juga diperalatkan oleh beliau untuk memuntahkan hujah-hujah politik bagi menyerang khususnya Mahfuz dan PAS pada malam itu.
Namun saya tidak berhasrat memanjangkan polemik itu. Bagi saya, yang lebih menarik pada malam itu adalah soalan dari penonton. Pelakon dan pelawak terkenal, Osman Kering telah mengemukakan soalan ataupun pandangan yang sangat menarik, malah mengkagumkan kerana ianya datang dari seorang artis.
Soalan itu saya kira sungguh penting dan barangkali terbit dari keikhlasan dan keprihatinan beliau, kerana tidak ada sindir-menyindir ataupun singgung-menyinggung dalam nada dan isi soalannya.
Beliau bertanya lebih kurang mengapa dalam semangat Aidilfitri ini, PAS dan Umno tidak boleh bersatu demi perpaduan agama, bangsa dan negara.
Bagi saya, kalaulah boleh soalan Osman ini diandaikan mewakili masyarakat Malaysia yang tidak komited dengan mana-mana pihak, bermakna ia mencerminkan betapa masyarakat Melayu mengiktiraf bahawa kuasa politik Melayu dalam negara cuma disandang oleh PAS dan Umno.
Seterusnya ia juga mencerminkan betapa umat Melayu, setelah hampir setengah abad merdeka, benar-benar mahu agar sengketa politik kedua-dua pihak yang bersaudara ini dapat dikendurkan dan kemudiannya bergandingan melayari teraju kepimpinan bersama demi kebaikan agama, bangsa dan negara.
Ianya satu lontaran yang bernas, berani dan saya kira kena pada masanya. Walaubagaimanapun, kita akui ia sukar untuk dicanai menjadi suatu realiti oleh kerana perbezaan yang besar antara kedua-dua pihak, samada dari segi pendekatan politik maupun dari segi prinsip perjuangan.
Namun ianya perlu diusahakan kerana ianya saya percaya sudah merupakan satu tuntutan tersirat yang bersarang dalam hati sanubari ramai umat Melayu pada hari ini. Memang, kalau dilihat pada aksi Annuar dan Mahfuz malam tadi, sukar untuk merealisasikan pandangan Osman ini. Namun ianya tidak mustahil.
Letakkan agama, bangsa dan negara sebagai agenda terbesar dan terutama. Kita bongkar rahsia kitab suci sebagaimana baris dalam sajak terkenal Pak Lah, tetapi bongkarlah dengan penuh keihklasan dan kejujuran.
Satu ketika dahulu, majlis perpaduan seumpama ini pernah diusahakan di zaman Mahathir Mohamad di mana kedua-dua setiausaha agung parti dan wakil masing-masing, duduk untuk beberapa siri perundingan. Namun ianya terbengkalai di tengah jalan, gersang sehinggalah Osman Kering membangkitkan kembali isu ini.
Kalau benarlah sebahagian besar rakyat Malaysia, khususnya yang berbangsa Melayu, memiliki keinginan yang sama sebagaimana Osman, saya kira perhatian serius terhadap perkara ini perlu diberikan.
Sementara itu tahniah Osman Kering. Andalah yang paling berjaya dalam majlis debat itu!


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.