Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Saya sebagai seorang rakyat Kelantan turut marah dengan isu pembelian kereta rasmi berjenama Mercedes walaupun seorang ahli exco Kelantan telah mempertahankan tindakan itu dengan berhujah bahawa kereta itu hanyalah kereta 'recon'.

Bagi saya tidak timbul isu recon ataupun tidak recon. Yang pentingnya rakyat tetap akan mempersoalkannya kerana rakyat tetap mengatakan sekiranya berjenama Mercedes, maka ianya adalah sesuatu yang dikaitkan dengan kemewahan.

Bayangkan mereka yang bertaraf lebih yang menjadi exco Kelantan ini, saban hari berkuliah kepada para pendokong PAS yang ikhlas berjuang untuk mendaulatkan Islam di Malaysia tentang peri pentingnya pendokong hidup sederhana kerana kehidupan yang hakiki adalah kehidupan akhirat.

Tetapi sebaliknya, selama ini mereka ini rupanya hanyalah retorik semata-mata. Inikah contoh terbaik pemimpin yang memperjuangkan Islam? Ataupun mereka hanyalah pemimpin yang bertopengkan nama Islam untuk hidup bermewah-mewah?

Pernah saya berdialog dengan kawan-kawan penyokong PAS yang lain tentang isu kereta rasmi mewah ini, tetapi jawapan yang saya terima amat menyedihkan sekali. Kerana mereka menjawab sekiranya kita melarang pemimpin kita hidup mewah, maka pemimpin seperti Dr Haron Din tentu tidak mahu memimpin PAS.

Yang saya ketengahkan di sini terpulanglah kepada pemimpin PAS untuk bermewah mempunyai kereta berpuluh-puluh buah pun sekiranya itu adalah hak peribadi mereka. Saya hanya persoalkan benda-benda yang menjadi milik kerajaan yang merupakan sumbangan cukai rakyat.

Sewajibnya kita berjimat dalam menguruskan perbelanjaan duit cukai rakyat. Dalam keadaan ramai lagi rakyat Kelantan hidup di bawah paras kemiskinan seperti contoh yang kita boleh lihat dalam siaran Edisi Siasat NTV7 sedikit masa lalu tentang kemiskinan di Kelantan, di saat itulah para exco ini memperkudakan duit cukai rakyat.

Saya berhak mempersoalkannya kerana saya adalah seorang pembayar cukai di Kelantan. Walaubagaimanapun, saya ingin mengucapkan syabas kepada Haji Husam Musa kerana tegas mempertahankan prinsipnya yang menentang pembelian kereta rasmi 'Mercedes recon' itu.

Saya faham beliau mempunyai pelbagai halangan untuk mereformasikan pentadbiran Kelantan sejak dari awal lagi. Apa yang menyedihkan saya, halangan itu bukannya datang dari Sultan Kelantan ataupun Umno Kelantan, tetapi ianya datang daripada pemimpin PAS yang bertaraf lebai dalam kerajaan Kelantan.

Pernah saya diberitakan bahawa ketika di peringkat awal lagi Haji Husam dilantik sebagai exco, beliau telah tegas menukar CEO Syarikat Perkayuan Kelantan kepada seorang profesional.

Akibatnya, beliau mendapat tentangan hebat daripada lebai-lebai tadi yang pastinya sukar untuk memunggah kekayaan balak Kelantan untuk kepentingan peribadi mereka lagi.

Saya sebagai rakyat Kelantan menuntut supaya timbalan menteri besar Kelantan dan exco-exco Kelantan kecuali Haji Husam untuk menarik balik pembelian kereta rasmi tersebut dan menuntut maaf secara terbuka kepada rakyat Kelantan dalam media rasmi tentang isu ini.

Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, saya hanya ingin mengingatkan bahawa kami rakyat Kelantan merupakan rakyat yang paling bijak berpolitik, tidak teragak-agak untuk mengajar PAS dalam pilihanraya yang akan datang.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS