ULASAN Plastik merupakan bahan yang serbaguna dalam hidupan, malangnya plastik adalah bahan buangan buatan manusia yang berkekalan dan mencemarkan.

Satu masa dahulu makanan dibungkus dengan bahan semula jadi seperti daun pisang. Daun ini akhirnya reput dan menjadi baja semula jadi apabila dibuang.

Sebaliknya, plastik yang dibuang akan menjadi hutang kepada alam sekitar, yang akan dibayar oleh generasi akan datang.

Plastik merupakan sahabat manusia kerana menyenangkan kerja bungkusan. Ia juga begitu mudah dan murah dan bersih. Namun, apabila dibakar, ia menjadi bahan yang toksik kepada hidupan darat mahupun laut.

Saban tahun, puluhan ribu tan plastik dibuang ke laut yang memberi ancaman besar kepada penghuni laut.

Sekiranya penggunaan plastik dan penangkapan ikan tidak dibendung, sebanyak 70 peratus sumber laut ini dikhuatiri akan pupus.

Penggunaan bahan kimia perkilangan dan pertanian juga perlu dipantau dan diganti dengan bahan alternatif. Sisa-sisa ini juga akan meresap ke dalam sungai dan air laut yang seterusnya meracuni sumber minuman dan makanan kita.

Kita perlu sedar betapa besarnya sumber dari khazanah alam, malangnya ahli politik masih tidak memahami konsep kelestarian sumber. Mereka terlalu sibuk dengan isu perkauman dan ekonomi.


KUO YONG KOOI pembaca Malaysiakini.