Jangan tuding jari pada Islam lepas serangan Paris
Serangan di Paris adalah satu tragedi yang sangat menyedihkan dunia. Satu tindakan yang tidak bertamadun ini adalah manifestasi daripada ketidakadilan sosial antarabangsa.
Dunia seharusnya mengutuk serangan seumpama ini kerana tidak ada satu pun budaya, masyarakat atau agama di dunia ini yang menyetujui atau mengiktiraf tindakan keji seumpama ini.
Secara jelas, dunia seharusnya melihat punca kepada permasalahan serangan demi serangan yang semakin rancak di seluruh dunia walaupun dalam skala yang kecil, namun ianya tidak boleh diambil ringan oleh kita.
Di Timur Tengah serangan kepada orang awam dilakukan hampir setiap hari terutama di Palestin, Syria dan Iraq. Baru-baru ini pula berlaku serangan di Lubnan.
Insiden penahanan tebusan penculikan di Australia dan Sabah. Hatta setiap hari di dada akhbar terpampang kes kes penculikan, serangan dan pembunuhan di seluruh dunia.
Serangan di Paris baru-baru ini adalah salah satu kemuncak kepada suasana ini. Malangnya semua tindakan ini dihalakan secara umum samada dirancang atau tidak dirancang kepada Islam.
Islam agama perdamaian
Sehingga satu persepsi negatif ini menjadi label yang laris oleh masyarakat dunia.
Perlu saya jelaskan, Islam adalah agama perdamaian, aman dan adil.
Islam tidak membenarkan pengikutnya bertindak ganas apatah lagi melakukan serangan-serangan seperti di Paris baru-baru ini.
Namun, perlunya dunia antarabangsa berjiwa besar dalam mentafsirkan agama dan penganut agama.
Ajaran agama itu jelas, namun pengikut agama itu mungkin umum kerana tindakan dan pentafsiran setiap individu mungkin dipengaruhi oleh fakta semasa dan luaran.
Oleh itu, satu tindakan global perlu diadakan segera oleh dunia barat dan timur dalam mengurangkan kemelut tekanan yang ada hari ini.
Pemimpin-pemimpin negara utama perlu duduk bersama dan menyelesaikan isu ketidakadilan dan hak asasi global terlebih dahulu dan bukannya menghukum dan meletak kesalahan kepada agama.
DATUK MAHFUZ OMAR anggota parlimen Pokok Sena.

