Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Apakah rakyat Malaysia ikhlas apabila membicarakan perihal perpaduan kaum di Malaysia atau ini hanya merupakan suatu impian dan ideologi semata-mata? Setelah 47 tahun negara merdeka, kita masih melihat sistem pendidikan negara yang diamalkan sekarang tidak dapat menawan hati kesemua rakyat Malaysia.

Segolongan besar ethnik Cina lebih beminat menghantar anak mereka ke sekolah Cina, sebilangan besar ethnik India pula lebih berminat menghantar anak mereka ke sekolah Tamil, walaupun kebanyakan sekolah jenis ini di dalam keadaan yang daif dan tidak mempunyai kemudahan yang cukup.

Ada pula satu golongan ethnik Melayu yang lebih cenderung menghantar anak mereka ke sekolah yang bercirikan agama. Tidak kurang juga ethnik Melayu dan kaum-kaum lain yang berpendidikan tinggi dan menggolongkan diri mereka sebagai elit di dalam masyarakat, memandang rendah terhadap sekolah kebangsaan dan sanggup menghantar anak mereka ke sekolah swasta dan sekolah antarabangsa.

Golongan minoriti lain pula, jika diberi peluang, mungkin ingin menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan di mana bahasa ibunda mereka menjadi bahasa pengantar. Fenomena ini semakin ketara kini walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan sekian lama.

Jika dilihat di sektor pekerjaan pula, didapati sektor kerajaan lebih banyak dipenuhi golongan bumiputera dan kebanyakan sektor swasta pula berjaya didokongi bukan bumiputera. Wujud budaya hidup yang berbeza antara kedua-dua sektor ini.

Di sudut pendidikan tinggi pula, didapati sektor pendidkan swasta lebih ramai terdiri daripada golongan bukan bumiputera. Ibu bapa bukan bumiputera menghantar anak mereka dihantar belajar di luar negara atau di institusi swasta tempatan bagi mencapai masa depan yang lebih cerah.

Mereka sanggup bersaing dengan kaum-kaum lain untuk berjaya di dalam pelajaran. Kebanyakan golongan bumiputera pula lebih cenderung melanjutkan pelajaran di IPTA dan UiTM. Mereka didapati lebih suka bersaing sesama sendiri.

Terdapat kelainan dan jurang yang besar di antara bumiputera dan bukan bumiputera dari segi penguasaan bahasa asing dan daya saing. Masing-masing kaum hidup dengan sikap dan budaya kerja tersendiri.

Pemisahan sikap dan budaya hidup sebegini menjurangkan lagi perpaduan rakyat apabila majikan lebih cenderung menggunakan pekerja yang sehaluan dengan budaya kerja mereka.

Jika dilihat pada petanda-petanda yang sedang menular di dalam masyarakat majmuk Malaysia, rakyat Malaysia masih jauh lagi untuk mencorakkan Bangsa Malaysia yang boleh kita banggakan. Malah apa yang dihasratkan oleh pemimpin masyarakat untuk mencorakkan satu bangsa yang bersatu, mungkin tinggal sebagai 'slogan' impian sahaja.

Sistem pendidikan negara seharusnya memainkan peranan yang penting untuk menyatupadukan rakyat Malaysia. Sekolah kebangsaan seharusnya dipertingkatkan dari segi kualiti dan daya saing dan dijadikan teras untuk memupukkan semangat perpaduan yang sejati dan ia seharusnya menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.

Bahasa Melayu perlu dikenali sebagai Bahasa Malaysia bagi mencerminkannya sebagai bahasa negara kepunyaan kesemua rakyat Malaysia. Sekolah kebangsaan perlu bersifat berkecuali dari segi agama dan ras dan memberi hak yang sama kepada semua untuk belajar tanpa mengira agama atau kaum.

Para guru hendaklah terdiri dari pelbagai kaum. Sekolah kebangsaan juga perlu mengajar bahasa-bahasa ibunda kesemua kaum jika wujud permintaan terhadapnya. Ini dapat menarik minat pelajar dari kesemua kaum.

Kesemua sekolah dan institusi pengajian tinggi di dalam negara perlu berbilang bangsa untuk memberi peluang yang sama kepada semua rakyat Malaysia dalam mewujudkan perpaduan dan persaingan yang sihat.

Teras penyatuan bangsa bermula dari sekolah. Jika setiap kaum inginkan kelainan dari kaum yang lain, dengan mewujudkan pengenalan yang tersendiri melalui sistem pendidikan yang berbeza dan institusi pendidikan pula hanya dapat menarik sesuatu kaum, maka cita-cita untuk mewujudkan perpaduan kaum yang murni hanya akan tinggal sebagai harapan semata-mata.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS