Rakyat Malaysia seharusnya berfikiran terbuka dan tidak mudah melatah apabila sesuatu idea baru yang radikal diutarakan. Sikap sebegini masih nyata apabila ramai pihak membantah cadangan Kementerian Kesihatan untuk 'mencuba' idea mengurangkan pembaziran dengan pemansuhan sementara pemberian ubat percuma di dua pusat perubatan Kerajaan.

Pihak pembangkang ternyata bersorak gembira dengan isu baru yang boleh dimanipulasikan dan mengelirukan rakyat. Idea ini sebenarnya merupakan salah satu daripada saranan bagaimana untuk menampung perbelanjaan kesihatan yang ditanggung kerajaan. Kos perubatan yang disubsidi kerajaan bertambah setiap tahun dalam nilai jutaan ringgit.

Ramai tidak sedar, perkhidmatan perubatan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan merupakan antara yang termurah di dunia. Kerajaan sebenarnya sudah terlalu lama bermurah hati, namun dengan perkembangan dan kemajuan negara, perubahan dinamik diperlukan di mana rakyat tidak boleh terlalu bergantung kepada kerajaan.

Rakyat perlu lebih bertanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada keperluan negara.

Alasan bahawa pengguna perkhidmatan kesihatan itu kebanyakannya golongan miskin di luar bandar sememangnya satu fakta. Namun, apa yang dilakukan oleh kementerian sekarang tidak perlu disalahertikan kerana sudah pasti golongan yang susah akan dibantu. Itu bukan persoalannya mengikut dasar kerajaan kita sendiri.

Lihat sahajalah, pusat perubatan percubaan yang dilakukan di dua tempat di mana rata-rata penduduknya berkemampuan dari segi ekonomi. Kajian sebegini penting, kerana analisa teliti itulah yang bakal menjadi fakta untuk tindakan dan susulan seterusnya, bukan hanya bercakap berdasarkan omong-omong kosong.

Rentetan cadangan Kementerian Kesihatan ini sepatutnya menjadi cabaran kepada universiti tempatan untuk melakukan kajian balasan dan menerbitkannya dalam jurnal perubatan di Malaysia dan antarabangsa. Apabila ini berlaku, maka perbincangan secara intellektual dapat dilaksanakan dan bukan sekadar mengikut emosi semata-mata.

Kita perlu sedar dan berwaspada bahwa dalam meniti globalisasi, banyak perkara yang memerlukan rakyat Malaysia lebih prihatin. Cara perkhidmatan kesihatan awam yang diberikan sekarang tidak mampu lagi menampung sepenuhnya kehendak orang ramai. Jurang perkhidmatan antara yang kaya dan yang miskin terlalu berbeza nilainya.

Rakyat perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan perkhidmatan yang terbaik diberikan kepada semua lapisan masyarakat. Satu sistem perkhidmatan yang berbentuk insurans a la - Malaysia perlu diwujudkan bagi kepentingan semua sebenarnya.

Sekiranya tidak, maka yang dikejar tak dapat , yang dikendung berciciran.