Kesilapan besar Pak Lah di Abu Dhabi
Lawatan perdana menteri Malaysia ke Dubai, United Arab Emirates, baru-baru ini menunjukkan kegagalan kerajaan Malaysia dalam memahami ikilm dan situasi politik di negara Teluk. Biar apa pun laporan media perdana Malaysia yang cuba menonjolkan kejayaan hasil lawatan itu, ternyata satu kesilapan besar telah dilakukan.
Abu Dhabi dan Dubai merupakan antara dua buah emiriyah dalam UAE di mana Abu Dhabi merupakan emiriyah terbesar, terkaya dan menjadi ibunegara. Manakala Dubai lebih terkenal sebagai kota kewangan, bisnes dan pelancongan. Kedua-duanya bersaing dalam serba-serbi dan kelihatan berlumba-lumba menonjolkan kewibawaan.
Pak Lah yang menyertai Forum Strategi Arab dalam ucaptamanya langsung tidak menyentuh mengenai bapa negara UAE, Almarhum Sheikh Zayed Al Nahyan yang meninggal dunia 40 hari sebelum itu. Rakyatnya masih dalam kesedihan kehilangan seorang negarawan terbaik di dunia Arab ketika ini.
Dalam semua sidang akhbarnya pun, Pak Lah tidak juga menyebut nama keramat ini. Ucaptama beliau juga tidak begitu diterima kerana fakta yang menggelirukan, apatah lagi beliau bukan ahli pidato yang hebat dan berkarisma tinggi seperti Anwar Ibrahim.
Kesilapan besar juga bila sepatutnya Pak Lah mendarat di Abu Dhabi dahulu sebelum ke Dubai. Pak Lah mesti menemui presiden baru UAE, Sheikh Khalifa Al Nahyan, yang juga Emir Abu Dhabi sebagai mengikut protokol. Sekurang-kurangnya menyampakan tahziah.
Apatah lagi, sewaktu Sheikh Zayed dikebumikan, Malaysia tidak menghantar wakil bertaraf menteri, sedangkan banyak negara termasuk Sri Lanka, Indonesia, Pakistan dan India, menghantar presiden masing-masing.
Malah, Britan menghantar Prince Charles dan Presiden Perancis bergegas menemui Presiden UAE baru itu dengan meninggalkan persidangan EU ketika itu.
Apakah yang dibuat oleh para penasihat yang berada di sekeliling Pak Lah, terutama yang lepasan Oxford dan Cambridge? Mungkin mereka sukar memahami iklim poitik di sini. Tetapi isu ini bakal menjadi masalah kepada Malaysia kerana UAE mempunyai begitu banyak peluang untuk melebarkan perdagangannya.

