Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Kenapa bayaran di pejabat tanah Kuantan naik senyap-senyap?

ULASAN Saya merasa terkejut dengan pengumuman kenaikan kadar “yuran pejabat” Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan mulai tahun 2016.

Mulai tahun 2016, bayaran untuk carian rasmi yang pada dahulunya hanya RM30 kini akan dinaikkan 330 peratus kepada RM100. Kadar bayaran untuk carian persendirian di pejabat tanah yang dahulunya RM20 pula akan dinaikkan 150 peratus kepada RM50.

Selain itu, bayaran untuk pendaftaran pindah milik tanah turut dinaikkan 60 peratus. Kadar baru untuk pindah milik hartanah bernilai RM100,001 hingga RM250,000 adalah RM400, berbanding dengan RM250 sebelum ini.

Bagi tanah bernilai RM250,001 hingga RM500,000, kadar terdahulu sebanyak RM500 kini dinaikkan kepada RM800 manakala pendaftaran pindah milik bagi hartanah bernilai RM500,000 ke atas dinaikkan daripada RM550 kepada RM1,200 (kadar kenaikan 118 peratus).

Saya tidak melihat sebarang rasional di sebalik kenaikan kadar ini kerana tindakan tersebut kelihatan hanya akan meningkatkan beban warga Pahang.

Dalam keadaan rakyat sengsara dengan kenaikan harga barang dan pelaksanaan GST, keputusan kerajaan Kerajaan Negeri Pahang adalah tidak wajar dan membebankan rakyat.

Malahan, keputusan kerajaan Pahang untuk menaikkan kadar urusan di Pejabat Tanah ini dibuat secara mendadak tanpa makluman awal kepada warga Pahang.

Warga Pahang hanya dapat mengetahuinya dengan melihat notis kecil yang ditampal atas meja di kaunter pertanyaan Pejabat Daerah & Tanah. Mengapakah kenaikan harga ini dijalankan secara senyap-senyap? Apa yang ingin disembunyikan oleh Kerajaan Pahang?

PKR mendesak kerajaan Pahang supaya membatalkan kenaikan kadar urusan di pejabat tanah dengan segera. Kerajaan Pahang seharusnya mencari jalan bagi meningkatkan kecekapan urus tadbir negeri serta mengurangkan projek yang membazir wang rakyat bagi meningkatkan pendapatan negeri.

Jangan menjadikan Rakyat Pahang sebagai mangsa untuk mencari sumber pendapatan negeri sedangkan kegagalan urus tadbir kerajaan pahang sebenarnya yang mencadi punca utama defisit kerajaan Pahang.


LEE CHEAN CHUNG ADUN Semambu dan ketua penerangan AMK.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS