Dosa US boleh ditebus dengan bantuan tsunami?
Berdasarkan maklumat yang dapat kita lihat, dengar dan baca setiap hari, bantuan mencurah-curah dari seluruh dunia untuk membantu mangsa tsunami di Selatan Asia.
Setakat ini saja, banyak negara termasuk Bank Dunia telah menjanjikan lebih dua bilion dolar Amerika dan ini tidak termasuk pakej bantuan yang lain. Dan kabarnya, jumlah ini adalah yang paling besar selepas Perang Dunia Kedua.
Sementara kita bersyukur dengan bantuan dan keprihatinan masyarakat antarabangsa itu, terlalu payah dan pedih pula untuk membayangkan betapa tidak terperinya penderitaan yang ditanggung sendiri oleh mereka yang malang akibat malapetaka tersebut.
Benarlah seperti kata orang Melayu: 'Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Oleh kerana itulah saya merasa sangat kecewa dan terkejut dengan kenyataan Amerika Syarikat, Colin Powell, yang baru-baru ini apabila bercakap mengenai bantuan yang akan diberikan oleh negaranya.
Dengan bantuan kewangan dan ketenteraan itu, beliau berharap '... akan dapat mengurangkan sentimen anti-Amerika di kalangan negara-negara dunia Islam, dan menolong perang melawan keganasan'.
Katanya lagi: 'Semoga dengan usaha kita, semoga dengan terlihatnya juruterbang helikopter kita oleh penduduk Indonesia membantu mereka, akan bertambah yakinlah (mereka) terhadap sistem nilai kita "
Nah, di sini timbul beberapa pertanyaan. Apakah beliau menyangka bahawa tsunami kali ini hanya melanda orang Islam? Atau pada hematnya, orang Islam sahaja di dunia ini yang anti-Amerika kerana dasar luar yang diamalkan oleh negara itu?
Kalau begitulah cara pemikirannya, dan sekiranya pentadbiran George W Bush pun menyangka 'dosa' mereka terhadap orang Islam boleh ditebus melalui bantuan tsunami, maka saya berani mengatakan Amerika sudah hilang kepekaan kemanusiaannya ketika seluruh dunia sedang bertafakur dalam kesedihan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.