Bantuan tsunami - harimau meratah kucing?
Saban malam kita diberitakan di media kita mengenai kutipan Tabung Malapetaka Tsunami sehingga mencecah ke angka RM18 juta (yang belum dikira dengan kutipan dari sektor korporat dan badan berkanun dalam Malaysia sebanyak RM32 juta).
Kutipan tersebut tidak termasuk bantuan antarabangsa untuk mangsa tsunami - RM5 bilion bagi mana-mana negara yang terlibat.
Terima kasih diucapkan kepada rakyat Malaysia yang amat prihatin dengan kesusahan yang sedang menimpa sahabat mereka. Perkara penting yang harus diingati semua pihak yang menguruskan dana bantuan ini ialah ianya duit sumbangan rakyat yang prihatin - bukannya perdana menteri, timbalan perdana menteri atau menteri-menteri mahupun wakil-wakil rakyat ataupun mana-mana parti.
Oleh itu, kehadiran para menteri menyampaikan bantuan kepada mangsa tsunami boleh diibaratkan sebagai 'Sang Harimau berjanji kepada Sang Kucing bahawa inilah makananmu'. Sedangkan Sang Kucing yang lapar ini (mangsa tsunami) tidak sedar mereka sedang menjadi makanan Sang Harimau.
Agihan bantuan tidak perlu dipertikaikan sehinggalah pengumuman timbalan perdana menteri seolah-olah beliau adalah seorang pelaut yang amat arif dengan selok-belok dunia sebagai nelayan.
Sekiranya 2,700 bot yang rosak diberikan bantuan RM30,000 sebuah, maka jumlahnya tidak akan mencecah RM7 juta pun. Bagi rumah yang musnah dan mengalami pelbagai kerosakan, sekiranya diberikan bantuan RM30,000 sebuah, jumlah bantuan tidak akan mencecah RM4 juta pun jika 200 rumah yang terlibat.
Jadi pihak pengurusan dana tabung bantuan tersebut mestilah mempunyai hati yang baik, jika tidak, kami mangsa tsunami akan terus berputih mata. Kami tidak mahu bantuan yang hanya sekadar berupa rumah panjang yang hanya melibatkan kos RM100,000 (seperti penempatan semula setinggan) dan akhirnya kami akan menjadi seperti setingan di Kuala Lumpur dan Selangor.
Jadi kami para nelayan dan awak-awak berharap agar pihak yang mengurus dana tersebut lebih terbuka daripada hanya datang ke sini dengan gema siren-siren polis trafik beserta dengan 'janji-janji manismu'.
Sekiranya terdapat dana yang lebih daripada jumlah dana terkumpul sebanyak RM50 juta itu, maka ianya bolehlah disalurkan kepada saudara-saudara kami di Aceh.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.