Sudah tiba masanya institusi agama Islam negeri dan persekutuan membuka ruang kepada masjid atau surau Jumaat untuk tidak terikat kepada teks khutbah yang disediakan.

Masjid-masjid juga sewajarnya diberi kebebasan untuk menyampaikan khutbah tanpa terikat kepada teks.

Khutbah oleh disampaikan khutbah dengan gaya yang lebih bersemangat dan interaktif selain hanya membaca teks dalam satu nada.

Utamakan ustaz-ustaz,tokoh-tokoh muda untuk menyampaikan khutbah kerana mereka sangat bertenaga.

Apalah maknanya kita punyai puluhan Imam Muda, Daie Millinea, Pencetus Ummah yang dilatih untuk menyampaikan ucapan dengan penuh interaktif dan efektif jika akhirnya mimbar Jumaat hanya disandang oleh golongan berusia yang kurang berdaya.

Seterusnya, isi khutbah yang akan disampaikan itu haruslah kembali menekankan perihal-perihal asas dalam agama.

Contohnya nilai-nilai Islam seperti menghormati dan menyayangi orang tua, ziarah menziarahi, berkata benar, berpakaian sopan dan sebagainya.

Pokoknya fokus kepada pembentukan peribadi/akhlak Muslim. Rasulullah SAW itu sendiri diutus untuk menyempurnakan akhlak Islamiah.

Adapun isi dan tajuk khutbah itu sangat mustahak untuk membentuk gaya fikir masyarakat Islam.

Umat Islam pada masa kini sudah mulai luntur dalam mengamalkan nilai-nilai Islam, maka isi khutbah seharusnya memenuhi kehendak permasalahan ini.

Selama ini khatib kita hanya membicarakan perihal perkara yang terlalu tinggi (baca: maha retorik) dan tidak membumi.

Contohnya perihal Hari Kastam, Hari Pekerja, Hari Merdeka, Hari Polis dan Hari Tentera.

Tajuk atau isi sebegini sememangnya membosankan, akibatnya ramai pendengar akan terlelap, ibarat orang yang mengantuk disorongkan bantal.

Keadaan berlainan pula saya perhati apabila mendengar khutbah di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang disampaikan oleh tokoh,ustaz atau mufti luar negara.

Khutbah mereka menekankan perihal asas dan nilai Islam.

Seorang professor dari England menyampaikan khutbah berkenaan tanggungjawab menjaga ibu bapa.

Beliau turut menyatakan bahawa Perdana Menteri David Cameron dalam ucapannya memohon rakyat Britain agar mencontohi umat Islam yang sangat bertanggungjawab ke atas orang tua mereka.

Manakala, Mufti Ismail Menk semasa menyampaikan khutbahnya pula menekankan perihal ziarah menziarahi.

Jelas sekali, nilai-nilai sebegini seharusnya ditekankan kembali dalam masyarakat Islam di Malaysia.

Tuntasnya, hari Jumaat adalah hari perpaduan dan keraian bagi umat Islam, hari yang mana setiap lelaki Muslim yang cukup syarat wajib menunaikan solat Jumaat di masjid.

Dalam seminggu, hanya waktu Jumaatlah masjid yang maha besar itu dipenuhi umat manusia.

Maka peluang ini seharusnya dimanfaatkan untuk menyampaikan mesej yang benar-benar penting dengan cara penyampaian yang berkesan.

Mesej itu juga tidak harus retorik dan idealistik, tetapi mesej yang mudah dan senang seperti mengamalkan nilai-nilai Islam dan tanggungjawab sebagai Muslim.

Semoga mesej yang mudah ini akan dipraktikkan dan disebarluaskan oleh para pendengar.


AZZAN AZNAN pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia (KESATUAN).