Ahli PAS sendiri yang memilih hardliner...
Tulisan Profesor Politik PAS bahawa parti itu akan bangkit apabila tiada lagi pemimpin 'hardliner' atau 'garis keras', menarik perhatian. Tiga pemimpin kanan PAS disenaraikan sebagai 'hardliner' dan dikatakan perlu mengundurkan diri atau disingkir sekiranya PAS mahu berjaya. Hal ini mengundang beberapa persoalan.
Pertama: Apakah yang dimaksudkan dengan panggilan tersebut? Kenapa mereka dianggap demikian? Tulisan itu tidak memberikan penjelasan dan contoh-contoh secara meyakinkan, selain daripada menyenaraikan 'kelemahan' mereka.
Satu-satunya sifat yang hampir menjadikan mereka demikian, kalau diteliti tulisan Profesor, ialah mereka dikatakan menentang sebarang idea pembaharuan dalam parti ketika mesyuarat AJK Pusat PAS. Akan tetapi apakah mengambil 'garis keras' (hardline) dalam sesuatu isu itu semuanya salah?
Kadang-kadang orang perlu mengambil sikap demikian dalam isu-isu tertentu, sikap tegas dan tidak kompromi yang merupakan sifat utama hardliner. Mungkin tokoh-tokoh tersebut mengambil sikap seperti itu dalam semua isu, lantas mereka menjadi hardliner sepanjang masa dan dianggap melemahkan parti. Akan tetapi, dalam sebuah organisasi, keadaan ini menjemput persoalan seterusnya.
Kedua: Keputusan-keputusan yang dibuat dalam parti, baik pada peringkat apa pun, termasuk AJK pusat, tentulah diambil melalui mesyuarat dan dicapai dengan persetujuan ramai. Ketiga-tiga tokoh berkenaan sepatutnya tidak akan dapat mempengaruhi keputusan parti dengan idea-idea 'garis keras' mereka kalaulah ahli-ahli mesayuarat tidak menyetujui idea-idea tersebut .
Begitu juga idea-idea pembaharuan yang dikatakan ditentang oleh mereka tentulah tidak akan ditolak begitu sahaja kalau tidak disetujui oleh AJK.
Yang mungkin berlaku ialah mesyuarat tidak berjalan sewajarnya. Ahli-ahli lain mungkin 'malu mata' atau hanya datang untuk memanaskan kerusi sahaja tanpa menyatakan pendirian masing-masing dalam sesuatu isu yang dibincang. Dan hal ini diyakini berlaku dalam banyak mesyuarat pertubuhan dan persatuan termasuk parti-parti politik.
Yang bercakap dalam mesyuarat hanya segelintir ahli sahaja. Majoritinya diam membisu kerana pelbagai sebab. Oleh kerana tidak bercakap, maka mesyuarat menanggap pandangan mereka yang bercakap itulah yang dipersetujui ramai.
Apabila keputusan telah dibuat, lalu di luar mesyuarat timbullah rasa tidak puas hati dengan itu dan ini, sedangkan semasa mesyuarat masing-masing membisu. Sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Ketiga: Tokoh-tokoh berkenaan (kecuali mungkin tokoh terakhir) menjadi AJK Pusat PAS melalui pemilihan yang dibuat oleh para perwakilan dalam Muktamar Agung parti. Malah tokoh terakhir pun menjadi AJK Pusat kerana sifatnya sebagai Ketua Dewan Ulama, yang juga dipilih oleh mesyuarat dewan berkenaan.
Kalaulah mereka terpilih menduduki jawatan masing-masing maka itu bukan salah mereka. Perwakilan parti yang telah membuat keputusan mereka. Dan dalam pemilihan seperti ini, perwakilan sepatutnya tidak terpengaruh dengan emosi atau isu-isu peribadi dan sampingan.
Parti perlu diletakkan di atas segala-galanya. Dan dalam hal ini lebih-lebih lagi parti yang memperjuangkan Islam.
Dalam hubungan ini, kejayaan atau kegagalan PAS sebagai satu parti yang memperjuangkan Islam tidak patut diletakkan pada pundak seorang tokoh atau beberapa orang tokoh tertentu.
Adalah amat menyedihkan, umpamanya, selepas kekalahan besar PAS dalam pilihanraya umum 2004 lalu, tanggungjawab kekalahan tersebut telah dibebankan kepada presiden semata-mata yang dikritik habis-habisan seolah-olah tidak ada kebaikkannya.
Perbandingan-perbandingan pula dibuat dengan presiden sebelumnya yang pada masanya PAS mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya umum 1999 sehingga presiden dipuji sampai ke langit. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya. Kejayaan dan kekalahan sesuatu perjuangan bukan hanya terletak pada satu orang, baik siapa pun dia.
Dalam membanding pilihanraya umum 1999 dan 2004, bukan sekadar kejayaan dan kekalahan yang patut diambil kira, tetapi juga suasana semasa banyak memberi sumbangan kepada kedua-dua keputusan pilihanraya umum berkenaan.
Ini termasuklah undang-undang pilihanraya, keadilan perjalanan pilihanraya, penipuan dan seumpamanya. Perbandingan perlulah dibuat dalam konteks dan secara objektif.
Akhirnya, ahli-ahli dan para penyokong PASlah yang sewajarnya bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan terhadap kejayaan dan kekalahan PAS. Merekalah yang telah memilih pemimpin-pemimpin mereka, sama ada pemimpin itu mengambil 'garis keras' atau sebaliknya.
Oleh hal yang demikian, setiap ahli PAS dan khususnya para perwakilan dalam Muktamar Agung hendaklah mengambil sikap 'hardline' dalam erti kata tegas dan tidak kompromi dalam pemilihan pucuk pimpinan supaya mereka yang benar-benar berwibawa sahaja yang terpilih.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.