Kami sebagai badan mahasiswa Malaysia di luar negara memandang serius terhadap keputusan kerajaan persekutukan mengehadkan pemberian biasiswa luar negera Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pertama sekali, biasiswa ialah tanda komitmen kerajaan kepada pendidikan. Tidak dinafikan pendidikan berkualiti boleh diakses dari luar mahupun dalam negara.

Jadi isu ini harus diterima positif jika hasrat kerajaan ialah melapangkan akses dan menumpukan potensi mahasiswa kepada pendidikan tempatan ke arah yang lebih berkualiti.

Namun, berdasarkan Belanjawan 2016 yang dibentangkan oleh menteri kewangan pada 23 Oktober lalu, Kementerian Pengajian Tinggi hanya menerima RM13.378 bilion (5.0 peratus daripada keseluruhan belanjawan) berbanding RM15.785 bilion (5.8 peratus) dalam Belanjawan 2015.

Ini menimbulkan masalah apabila institusi pendidikan tempatan harus menangani kemasukan mahasiswa yang lebih ramai setelah penghentian biasiswa JPA dengan peruntukan yang berkurangan.

Ia juga perkara menyedihkan jika persoalan menaik taraf kualiti pendidikan hilang dalam kesempitan peruntukan dana.

Di samping itu, kami berpendapat masa keputusan ini diumumkan tidak mencerminkan realiti yang dihadap oleh mahasiswa yang terlibat.

Mereka tidak diberi amaran atau notis selebih awal akan perubahan ini, malah ada yang dapat tahu menerusi laman sosial media yang biasiswa ini telah diberhentikan.

Selain itu, mahasiswa-mahasiswa ini telah memohon institusi luar negara seawal tahun lepas dan sekarang tidak menemui alternatif lain untuk meneruskan pelajaran di luar negara.

Badan-badan kerajaan seharusnya melaksanakan keputusan tersebut dengan memberi tempoh soft landing, yang mana pemotongan bilangan biasiswa tersebut boleh dibuat secara beransur-ansur

untuk memberi masa bagi mahasiswa untuk membuat keputusan sewajarnya.

Akhir sekali, biasiswa JPA ialah satu skim utama kerajaan yang produktif dalam membantu mahasiswa bukan bumiputera, setelah dibandingkan dengan biasiswa badan kerajaan yang lain.

Sementara kami tidak menafikan kelayakan setiap mahasiswa berdasarkan merit mereka, ialah satu fakta jelas yang mahasiswa bukan bumiputera berdepan masa lebih sukar untuk mencari dana bagi menampung pendidikan mereka.

Jadi, apabila potongan biasiswa dilakukan, ia seolah mengehadkan akses mereka ke pendidikan yang berkualiti.

Isu JPA bukan sahaja mengehadkan peluang mahasiswa bukan bumiputera, malah menambahkan simptom kepada penyakit penginstitusian kaum mahasiswa dalam negara.

Kami bersolidariti dengan 744 mahasiswa yang terlibat dalam pemotongan dana ini.

Kami menggesa pihak yang bertanggungjawab untuk membantu mahasiswa-mahasiswa terlibat dalam mencari penyelesaian alternatif dan menjamin mereka tidak dijadikan ‘kambing hitam’ dalam isu ini.

Kami juga mendesak semua rakyat Malaysia untuk menyokong kenyataan ini.


MALAYSIAN PROGRESSIVES IN AUSTRALIA (MPOZ) adalah gerakan muda rakyat Malaysia di Australia ke arah dialog terbuka demi perubahan politik di negara ini.