Biar exco PAS tentukan faedah exco Kelantan
Saya ingin mencadangkan supaya mulai dari hari ini, segala keputusan berkenaan dengan kemudahan serta 'faedah' para pemegang jawatan dalam kerajaan negeri Kelantan mestilah mendapat kelulusan jawatankuasa PAS pusat terlebih dahulu.
Seharusnya, keputusan berkenaan 'faedah dan gaji' para exco tidak harus ditentukan oleh para exco sendiri. Ianya sepatutnya dibuat oleh pihak ketiga bagi menjamin keadilan dan tiada salah gunakuasa.
Saya juga mencadangkan kepada semua PAS cawangan, kawasan dan negeri di seluruh negara supaya jangan lagi menjemput timbalan menteri besar Kelantan serta para exco yang telah menerima kereta Mercedes ke program parti sehingga mereka memulangkan semula kereta tersebut.
Atau sebaliknya, kereta-kereta tersebut dikumpulkan untuk kegunaan 'pool'.
Saya juga menyesali jawapan yang diberikan oleh Ustaz Nik Amar Nik Abdullah semasa munaqasyah ucapan dasar PAS Pusat baru-baru ini berhubung isu pembelian kereta Mercedes. Jawapan beliau tidak mencerminkan seorang yang amanah dan jujur dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pejuang Islam.
Alasan kononnya mereka tidak melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan juga tidak harus digunakan oleh para exco PAS. Ini adalah kerana ia adalah peraturan Kementerian Kewangan dalam isu penggunaan kereta pemberian kerajaan atas urusan peribadi para exco adalah peraturan yang dibuat oleh Umno.
Seharusnya PAS mesti menunjukkan contoh tauladan yang lebih baik daripada Umno untuk meyakinkan rakyat supaya merubah sokongan mereka kepada PAS.
Sikap para exco PAS ini kelak akan menyebabkan kejatuhan kerajaan PAS. Kelantan, sebagai negeri kedua termiskin di Malaysia, seharusnya mempunyai para exco dan pemegang jawatan yang melambangkan keprihatinan mereka terhadap kemiskinan rakyat Kelantan. Pembelian kereta Mercedes ini hanya melambangkan keangkuhan para exco sahaja.
Saya berharap, mereka yang terlibat dalam pembelian kereta Mercedes itu supaya bertaubat nasuha dan kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat. Pada masa inipun, penyokong PAS sudahpun mula meluahkan kekecewaan mereka terhadap keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan tempohari.
Para exco di Kelantan ini harus beringat bahawa terdapat ribuan aktivis PAS yang hidup dalam keadaan tertekan semata-mata untuk melihat kelangsungan serta kejayaan perjuangan. Jangan sampai mereka-mereka ini mendoakan sesuatu yang tidak baik ke atas para exco Kelantan yang rakus dan angkuh ini.

