Lagi kumpulan belia bidas Challenger kerana selar Najib
Kami, Gerakan #WeMalaysia , mewakili rakyat dan pelajar Malaysia yang bermastautin dan sedang melanjutkan pengajian di luar negara, berpendapat bahawa kenyataan media Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang disokong oleh sekumpulan pemimpin pelajar dan belia yang memanggil diri mereka sebagai Challenger Gerakan Perubahan oleh Generasi Muda, dalam menzahirkan kerisauan mereka terhadap kepimpinan perdana menteri dan kerajaan, tidak mewakili suara majoriti anak muda Malaysia di dalam mahupun di luar negara.
WeMalaysia bersama-sama meraikan hak anak muda untuk memberikan pendapat demi kebaikan masa depan negara.
Suara anak muda sejujurnya merupakan suatu yang sangat dihargai namun hak tersebut perlu digunakan secara bijaksana bersandarkan fakta kebenaran dan bukan bergantung sepenuhnya pada teori-teori konspirasi dan dakwaan-dakwaan media antarabangsa semata-mata.
WeMalaysia menyedari isu-isu yang disentuh Syed Saddiq dan Challenger dalam kenyataan media mereka perlu diselesaikan oleh kerajaan dengan segera.
Namun begitu, anak muda Malaysia sewajarnya lebih positif dalam mengemukakan cadangan penyelesaian, dengan menggunakan pendekatan yang lebih berhemah.
Teguran berhemah akan mencerminkan jatidiri anak muda, menggunakan landasan yang neutral tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak berkepentingan.
WeMalaysia berpendapat bahawa sedang negara bergelut dengan masalah ekonomi kesan dari kejatuhan harga minyak dan komoditi dunia, doa, suara dan sokongan anak muda adalah amat diperlukan.
Sebagai gerakan yang mewakili suara mereka, WeMalaysia ingin menjemput Challenger untuk bekerjasama khususnya dalam meningkatkan semangat patriotism dan menolak fahaman esktrem dikalangan anak muda Malaysia melalui program-program dialog, sosial dan sebagainya.
Akhir kata, bagi pihak pendukung dan penggerak WeMalaysia di seluruh dunia, saya mengucapkan tahniah atas inisiatif penubuhan Gerakan Challenger dan sebagaimana yang telah diungkapkan dalam kenyataan media anda, kami juga berkongsi aspirasi yang sama.
‘Kecintaan kami terhadap Malaysia juga, sukar ditandingi’.
Dizahirkan di Brisbane, Australia
Mohd Ali Halim Sirat
Pengerusi, Gerakan WeMalaysia Antarabangsa (International WeMalaysia Movement)

