Kotornya politik Umno Permatang Pauh
Ketika ini, semua orang politik boleh melihat dengan jelas proses demokrasi yang dilaung-laungkan dalam Umno. Pemilihan Umno Bahagian Permatang Pauh pada 13 Feb lalu membuktikan campurtangan dari pihak paling atas menyebabkan bekas penyandang jawatan Ketua Bahagian, Ahmad Saad disingkirkan secara 'sah'.
'Sah' yang dimaksudkan ialah pucuk pimpinan tidak mahu beliau di situ. Maka setelah Majlis Tertinggi (MT) menggugurkannya, mereka juga mahukan perwakilan juga 'mengikut' telunjuk MT (baca pimpinan tertinggi).
Sebuah akhbar harian secara jelas mempermainkan berita, analisis dan ramalan yang meletakkan Ahmad 'di tumit kaki' mereka. Satu berita dipetik, Ketua Penaja Bahagian Pematang Pauh, Abdul Jalil Majid mengiringi perdana menteri yang juga Presiden Umno bersembahyang Jumaat yang diimamkan Pirdaus Ismail.
Lebih menyedihkan Arif Shah Omar Shah 'mengejar' jawatan Ketua Penerangan dengan meninggalkan 'perjuangan' bersama Ahmad untuk berhadapan dengan Jalil dan Pirdaus. Ada tafsiran dibuat Arif Shah 'berkepentingan' peribadi dan mahu menjaga hati Presiden Umno Abdullah Ahmad Badawi.
'Ada apa-apa janji ke?' tanya mereka yang diminta mengulas langkah Arif Shah ini. Ahmad kalah kerana 'diserang' dari pelbagai sudut, selain permainan kawan-kawan yang tidak setia, ketika mengejar jawatan.
Presiden Umno jelas mahukan Jalil dan Pirdaus dengan mengeluarkan kenyataan bahawa Arif Shah melakukan pengorbanan besar bila menarik diri dari mempertahankan jawatan timbalan ketua bahagian.
Apakah 'menarik diri' suatu pengorbanan? Apakah pertandingan dalam parti mengakibatkan perpecahan? Atau, Umno hanya memerlukan 'pertandingan' jika seseorang itu perlu dipertandingkan tetapi 'pertandingan' menjadi tidak perlu apabila seseorang itu mahu dijadikan 'mangsa'?
Pirdaus sebenarnya tidak perlu turut bersaing bertanding jawatan timbalan kalau dia faham politik Umno sebenarnya. Tanpa apa-apa jawatan dan sumbangan kepada Umno, Pirdaus lebih beruntung daripada lebih tiga juta ahli parti itu apabila terpilih bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh. Maka, untuk apa dia mengejar jawatan dalam parti jika dia tahu 'dia anak istimewa' dalam Umno?
Orang lain, pernah jadi ketua bahagian bertahun-tahun, malahan lebih 10 tahun, pun tidak merasa terpilih menjadi calon. Ada timbalan ketua bahagian di Johor, Haji Daud Ibrahim (Umno Bahagian Parit Sulong) menjadi timbalan lebih 20 tahun, tetapi tidak sekalipun terpilih menjadi calon.
Pirdaus tidak perlu melalui proses menjadi pemimpin bahagian. Nasib dia sudah ditentukan baik sebaik nasib Zainuddin Maidin yang kini menjadi Ahli Parlimen Merbok walaupun tidak mempunyai apa-apa jawatan di peringkat cawangan dan bahagian.
Selepas menang pilihanraya, Zainuddin dilantik menjadi Timbalan Menteri Penerangan dan dilantik pula menjadi Ketua Penerangan Umno Bahagian Merbok.
Tidak mustahil selepas ini, Pirdaus - yang juga Exco Pemuda Umno Malaysia - akan dilantik menjadi Senator dan timbalan menteri, memandangkan Pulau Pinang kini kekurangan jawatan tersebut selepas Pak Lah menjadi perdana menteri dan Sharif Omar menjadi timbalan menteri pertanian dan industri asas tani.
Jalil Majid juga tidak mustahil akan mendapat 'habuan' selepas menang dan disahkan sebagai Ketua Umno Bahagian Pematang Pauh, dengan kelebihan cuma 27 undi untuk mengalahkan Ahmad Saad.
Orang Pematang Pauh 'kehilangan' Ahmad, seorang yang cukup lama dalam Umno Pematang Pauh, yang pernah menjadi Exco Pemuda Umno Malaysia, pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang dan pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Pematang Pauh.
'Kebencian' orang tertentu dalam Umno terhadap Ahmad diluahkan dengan menggugurkannya dari jawatan Ketua Bahagian, menjadikannya satu-satunya ketua bahagian di luar Kelantan yang digugurkan.
Peribadinya yang cukup baik kuat mengaji al-Quran dan tidak pernah tinggal sembahyang tidak menjadikan dia seorang yang 'disegani dan dihormati' tetapi, dia disisihkan. Umno menjauhkan 'diri' dari orang seperti Ahmad, bukan kerana Ahmad tidak ada kelulusan, atau Ahmad terlibat dengan dakwaan rasuah tetapi tersisihnya Ahmad kerana 'orang tertentu' dan 'tangan ghaib' mencampuri urusan pemilihan di peringkat bahagian.
Bayangkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan seolah-olah menyokong Ahmad sama seperti menyokong 'orang lama' yang kini menjadi orang Keadilan!
Ini apa yang dilaporkan di akhbar. Kita tidak dapat bayangkan bagaimana 'serangan' dibuat ketika kempen sedang berjalan.
Kita tidak mendengar pandangan Ahmad kerana Ahmad tidak mendapat tempat di akhbar. Mungkin dia kalah atas 'hikmah' Allah. Kalau dia menang, tidak mustahil ada 'perangkap' menanti dia dengan cerita 'tsumoney'.
Ini cerita orang yang mungkin simpati dengan Ahmad dan mungkin juga cerita orang yang tidak sukakan Jalil, bagi menampakkan Jalil sebagai tidak 'gentleman'. Tetapi Ahmad yang mengutip 158 undi berbanding Jalil 185 masih kuat dan tidak boleh dipandang rendah.
Ada yang meramalkan, jika Arif Shah tidak 'buat hal', peluang Ahmad cukup cerah untuk memenangi pertandingan ini. Perwakilan menjadi keliru dengan 'tekanan' dan kenyataan yang dikeluarkan Pak Lah dan langkah mengelirukan yang diambil Arif Shah itu sekejap kata tak tarik diri, sekejap kata tarik diri.
Kita tidak tahu apa cadangan Ahmad selepas ini tetapi sekarang kita boleh menyaksikan bahawa Umno Pematang Pauh terus bercempera dengan isu pertandingan ini dan tangan-tangan ghaib akan terus memainkan peranan menentukan siapa yang mereka kehendaki menerajui bahagian.
Bohong kalau ada dakwaan mengatakan pemimpin atasan mengambil sikap berkecuali.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.