Saya merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Teras baru-baru ini yang membidas tindakan Sisters In Islam (SIS). SIS telah mempersoalkan beberapa kepincangan dalam perlaksanaan undang-undang yang mencabul hak asasi lebih kurang 100 muda-mudi Melayu/Islam di ibukota beberapa minggu lalu.

Apabila SIS meluahkan pendapatnya , Teras membantah dan menuntut agar pihak berkuasa mendakwa SIS kerana kononnya, mencabar Enakmen Kesalahan Jenayah Undang-Undang Syariah.

Teras turut menuntut ' agar pihak berkuasa mengawal perbincangan secara terbuka'. Apakah pengikut Teras mempunyai tafsiran sendiri mengenai demokrasi yang bertentangan dengan erti demokrasi sebenarnya.

Mereka akan menbantah sekiranya SIS dan majoriti Muslimin di negara ini mempunyai tafsiran sendiri dalam hal-hal ketuhanan.

Dalam kes ini, ada dua perkara lagi di mana sikap Teras itu menyerlah:

SIS dibidas kerana menganggap hanya tafsiran dan pendapat Islam dan syariah mengikut kehendak SIS sahaja yang tepat. Tidakkah pendirian Teras juga sedemikian? Mereka saja yang benar, orang lain semua salah.

Teras bangkitkan persoalan nama Islam yang digunakan dalam orginasasi SIS, tetapi diam membisu, malah menyokong, apabila ada sebuah parti politik yang matlamatnya adalah kuasa politik untuk memerintah yang bernama Parti Islam SeMalaysia.