Dua minggu lalu, saya telah ditanyakan pandangan tentang kumpulan minoriti transgender dalam konteks Malaysia. Ia berlaku secara spontan. Perkongsian pandangan yang mengujakan ini menbawa kepada perbincangan tentang ruang lingkup yang digunakan masyarakat kita untuk berdepan dengan kumpulan ini.

Tiga minggu sebelum itu pula, di dalam simulasi debat parlimen telah dijadikan isu perkahwinan sejenis sebagai usul dewan.
Kedua-duanya isu yang asing dalam kalangan kita, namun tindak balas kita mendepaninya amatlah menghairahkan.
Apa patut kita membenci mereka?
Sebelum lebih lanjut, ingin saya petik kata-kata Norhayati Kaprawi yang diungkapkan beliau di dalam sebuah perbincangan ilmiah,
“Orang (kita) anti (menolak) sesuatu perkara yang kita tak faham.”
Awal minggu ini, laman sosial saya meriah dengan perkongsian video pertengkaran antara polis agama dan sekumpulan transgender di dalam sebuah majlis tertutup.
Langkah polis agama sebeginilah yang saya fikir tidak akan menyelesaikan sebarang perkara berbangkit berkaitan isu transgender di Malaysia. Terlalu keras, terlalu ganas, ia kelihatan menindas (atau semenangnya).
Lewat tahun lalu, saya telah mengepalai sebuah projek bagi membentuk kesedaran sosial dan bagi tujuan tersebut, kumpulan saya telah mengambil ketetapan untuk memberi fokus kepada kumpulan minoriti transgender.
Agenda kami jelas, membentuk kesedaran melalui proses pencerahan dan pemahaman tentang isu ini. Jujurnya, di sini, kita lazimnya akan menggunakan agama sebagai senjata untuk menolak perkara yang kita sendiri tidak mengerti. Benar, agama adalah sebahagian pecahan di dalam institusi sosial, namun sesuatu perkara di sekeliling kita seharusnya dilihat secara meluas dan menyeluruh (komprehensif).
Transgender misalnya, ia wajarlah dilihat dalam spektrum yang meluas khususnya dalam konteks seks dan gender yang menjadi asas berbangkitnya isu ini. Kita kena fahamkan dahulu dua perkara yang nampak sama tetapi tidak serupa ini secara terperinci. Bersama kumpulan ini bagi mengenali dan mengetahui punca serta kekurangan keperluan kehidupan mereka yang lazimnya berkait rapat dengan sosio-ekonomi mereka.
Membenci mereka, malah memalukan mereka bukanlah satu pengkaedahan yang sepatutnya. Kalau benar polis agama membawa nama agama dan beragenda membimbing mereka ini mengikut acuan agama, saya berfikiran, agama tidaklah memandu kita memperlekeh identiti mereka ini. Pengkaedahan yang sederhana barangkali kaedah yang baik dalam mendekati, mengenali dan memahami mereka.
Hak, kesedaran dan perbezaan
Prajudis dan diskriminasi sudah menjadi lumrah hidup rata-rata mereka dalam kumpulan ini. Pun begitu, saya percaya, perkara ini berlaku dan dilakukan dalam kelompok kumpulan majoriti yang tegar menentang kumpulan minoriti ini. Kumpulan tegar ini melihat kumpulan transgender dalam satu sisi tanpa mengenali, mengetahui mahupun memahami realiti yang dihadapi mereka.
Hak hakiki manusia para transgender yang sering dipandang sepi.
Soal hak – terutama sekali berkaitan keselamatan, ruang peribadi, ekonomi khususnya peluang pekerjaan dan sosial merupakan perkara asas apabila disentuh tentang hak kumpulan transgender.
Saya merujuk kepada NGO yang berkaitan dengan transgender, soal perlindungan dalam tahanan misalnya sering menjadi dilema dalam kalangan mereka – di sini perkara-perkara yang menyalarkan maruah mereka berlaku namun ia sepi dalam penghakiman yang gegar mengherdik kumpulan transgender.
Soal ekonomi – diskriminasi dalam peluang pekerjaan merupakan perkara utama yang menyulitkan kehidupan kumpulan ini. Pandangan utama masyarakat telah membentuk persepsi negatif terhadap kumpulan ini lantas memberi impak kepada pemain ekonomi untuk menggajikan mereka-mereka ini.
Lebih malang, imej perkhidmatan pelacuran acapkali dipalitkan kepada kumpulan transgender yang lantas dikaitkan sebagai penyumbang masalah kepada masyarakat.
Lagi malang, apabila ruang peribadi dan bersosial sesama kumpulan ini turut dinafikan dengan serbuan yang bersifat agresif dan tidak langsung mempunyai hormat kepada mereka sebagai umat manusia. Sekali lagi, agama menjadi senjata bagi menghalalkan tindakan yang lari dari prinsip kesederhanaan dan kemanusiaan.
Sebagai cis-gender, saya menolak sekeras-kerasnya tindakan dan pengkaedahan yang digunapakai oleh jabatan-jabatan agama terhadap kumpulan transgender. Bersederhana dalam mendekati dan memahami kumpulan ini.
Paling asas adalah dengan memahami kerangka konsep seks dan gender terlebih dahulu sebelum menyerbu mereka secara melulu.
#IamTransAlly #PeduliTrans