Sedar atau tidak, tahun ini merupakan genap sedekad Shahidan Kassim menjadi Menteri Besar (MB) Perlis, selepas mengambil alih kepimpinan negeri daripada Dr Abdul Hamid Pawanteh.

Walaupun sepuluh tahun telahpun berlalu, namun Shahidan masih gagal membawa perubahan yang besar kepada rakyat di negeri yang terkecil di Malaysia ini. Perubahan tersebut ditafsirkan dalam erti kata menjadi sebuah negeri yang maju setanding dengan Selangor dan Pulau Pinang.

Shahidan cuma pandai beretorik sepanjang sepuluh tahun ini untuk menyedapkan hati rakyat, terutamanya bangsa Melayu. Beliau boleh diklasifikasikan sebagai MB yang hanya pandai membuat 'Memorandum of Understanding (MoU)' tetapi tidak mampu menterjemahkannya kepada projek yang benar-benar dilaksanakan.

Antaranya ialah projek pembinaan rumah pangsa di Jalan Sekolah Derma Kangar. Upacara pecah tanah disempurnakan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad semasa pilihanraya kecil Indera Kayangan pada bulan Januari 2002, tetapi sehingga ini belum berjalan. Sebaliknya, tapak projek itu kini dijadikan tapak perniagaan makanan pada waktu malam.

Projek lain yang gagal dilaksanakan ialah projek perindustrian berskala berat (seperti di Gurun, Kedah) di Sungai Chuchuh Padang Besar. Dr Mahathir juga yang melakukan upacara pecah tanah ketika Shahidan baru menjadi MB. Antara cadangan di kawasan projek ini ialah pembinaan kilang membuat trak.

Tetapi selepas sepuluh tahun berlalu, rakyat Perlis yang dijanjikan dengan peluang pekerjaan hasil daripada projek ini, hampa kerana ia masih belum terlaksana. Begitu juga dengan projek pembinaan pelabuhan di Kuala Perlis juga sudah dilakukan upacara pecah tanah tetapi rakyat Perlis terus malang kerana projek yang mampu menaik tarafkan ekonomi negeri ini, juga masih belum terlaksana.

Terdapat juga projek perumahan yang terbengkalai di Perlis, terutama di Tambun Tulang, kerana tidak ada yang sanggup membeli rumah di situ. Lokasi projek itu tidak sesuai kerana terletak di kawasan pedalaman. Tetapi apakan daya, ianya tetap dilaksanakan berikutan arahan kerajaan negeri di bawah Shahidan.

Sepatutnya rakyat Perlis mampu menikmati satu lagi kedai bebas cukai di Wang Kelian yang terletak di sempadan Perlis-Thailand apabila seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur yang berhasrat untuk membuka kedai tersebut..

Bagaimanapun, ahli perniagaan itu gagal meneruskan cita-citanya kerana ada pihak yang minta diberi 30 peratus saham (secara percuma) dalam kedai tersebut, jika mahu projek itu diluluskan.

Sudah menjadi lumrah di Perlis di mana keluhan demi keluhan kontraktor kelas F yang turut mengundang simpati penulis. Mereka mengeluh kerana projek di Perlis dikatakan dikuasai kroni-kroni. Yang lainnya hanya berpeluang memperolehi projek bertaraf kecil apabila kroni orang-orang kuat ini tidak masuk tender.

Shahidan cekap memohon peruntukan tambahan (hutang) daripada kerajaan pusat saban tahun tetapi seorang pemimpin yang cekap adalah pemimpin yang mempunyai daya fikir untuk berdikari tanpa terus bergantung kepada bantuan orang lain.

Sebagai penutup, rakyat Perlis masih menunggu hasil siasatan punca sebenar kebakaran pejabat Menteri Besar Perlis yang turut memusnahkan fail-fail sulit. Rakyat Perlis yang sudah matang amat memahami bahawa pejabat MB bukanlah seperti reban kambing yang mudah terbakar...