Antara ciri-ciri demokrasi ialah peralihan kuasa secara aman, damai dan licin. Dan salah satu peristiwa yang paling cocok dalam sejarah Islam yang menunjukkan peralihan kuasa yang terbaik ialah perubahan pucuk pimpinan Khulafah Ar-Rashidin pertama, Saidina Abu Bakar As-Siddiq kepada Saidina Umar al-Khattab.

Semasa peralihan ini, umat Islam dapat menerima dengan tulus hati. Tidak timbul konflik politik yang kronik. Ini kerana sebelum Saidina Abu Bakar meninggal dunia, beliau telahpun menulis wasiat dengan menunjukkan pengganti selepasnya. Kerana kepintaran Saidina Abu Bakar inilah, maka konflik perebutan kuasa dapat dielakkan, manakala Saidina Umar dapat memerintah jayanya.

Cerita di atas saya rumuskan melalui salah satu dari bahan pembacaan saya mengenai sejarah Islam. Saya akui banyak versi berbeza yang mencatatkan mengenai susur galur sejarah Islam. Namun, apa yang ingin saya tonjolkan di sini ialah soal peralihan kuasa secara aman, damai dan licin yang kini menjadi ciri-ciri terpenting dari aspek demokrasi liberal.

Lebih lanjut lagi saya mahu mengaitkan konsepsual salah satu peralihan kuasa dalam tradisi sejarah Islam dengan apa yang berlaku di negeri yang saya cintai, Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Saya memahami, Tok Guru tidak bisa melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan. Beliau di lihat sebagai tokoh perpaduan dan simbol kepimpinan ruhaniah PAS. Sekiranya beliau meletak jawatan, tentunya ombak besar dari bawah akan mengangkat mereka yang lari dari semangat modus operandi Islam yang telah Tok Guru gariskan.

Di Kelantan sekarang, terbukti telah wujud kelompok elit yang anti-Tok Guru. Survival politik mereka ini nampaknya lebih ampuh berbanding dengan mereka yang pro-Tok Guru. Sebisa-bisanya mereka mahu menyingkirkan Tok Guru dan merampas takhta kerajaan negeri untuk terajui oleh kelompok-kelompok tiga Abdul ini.

Saya di sini tidaklah mau membenarkan semua tindakan yang Tok Guru lakukan. Secara peribadi, saya melihat Tok Guru telah gagal untuk bersikap tegas dengan kelompok yang anti-aspirasinya, kerana sekurang-kurangnya Tok Guru mesti mencampuri urusan pembelian kereta Mercedes yang kontroversi itu.

Tetapi oleh kerana Tok Guru tidak mahu campurtangan, maka orang melihat ia bukan kesalahan Tok Guru, tetapi kerana kegagalan Timbalannya, Ustaz Ahmad Yaacob, walhal Tok Gurulah individu yang paling berkuasa dalam politik Kelantan. Jika inilah sikap Tok Guru, maka timbul persoalan di mana letaknya peranan seorang Menteri Besar!

Walaubagaimanapun, kita sedar keadaan kesihatan Tok Guru amat tidak mengizinkan. Beliau belum tentu mampu mengawal segala aspek pentadbirannya. Maka, dengan kelemahan inilah, ada pihak yang 'tidak bertamadun' mengambil kesempatan.

Saya tidaklah mahu mengesa Tok Guru meletak jawatan. Cuma saya ingin mencadangkan, di tengah-tengah kekalutan kerajaan Kelantan ini agar Tok Guru ikut strategi kepintaran Saidina Abu Bakar dengan mewasiatkan pengantinya selepas beliau kembali ke Rahmatullah.

Ciri pengganti yang dipilih mestilah sekurang-kurang tegas dan progresif seperti Saidina Umar juga. Mungkin Husam Musa ketika ini adalah tokoh yang paling ideal di Kelantan. Husam Musa bukan sahaja tegas tetapi juga progresif dan disenangi oleh orang bukan-PAS.