Paling Popular
Terkini

Aku berjumpa Hishamuddin Rais buat kali pertama di sebuah 'kafe' bersebelahan ruang upacara pengebumian di jirat Cina di Bukit Petaling. Sambil bersembang dan minum air 100 Plus, Isham kelihatan mengunyah kulit kacang. Separuh sisa kulit kacang yang kami jamah bersama, habis dimakannya. Bantu penghadaman, kata dia.

Semudah itu aku pun percaya. Isham Rais berjaya menghasut aku untuk percaya bahawa kita patut makan kulit kacang untuk "membantu penghadaman". Entah betul entah tidak. Padanlah ramai betul yang takut dengan kemahiran menghasut dimiliki Isham.

Aku pun dengan bodohnya mengunyah kulit kacang selepas berasakan keyakinan terbina daripada hasutan dia. Demikian cerita betapa hebatnya 'si penghasut tegar' bernama Isham Rais.

Mungkin saja aku ni bangang kerana denga semudah itu boleh percaya kepada hasutan Isham bahawa "mengunyah kulit kacang boleh membantu penghadaman". Namun kau harus beri pengiktirafan, hasutan dia memang berkesan.

Kalau Isham Rais boleh hasut aku untuk buat sesuatu sebodoh makan kulit kacang tanah - yang buat aku terbatuk-batuk dan hampir tercekik - kita tidak hairan kalau ramai pihak bimbang sekiranya dia berjaya menghasut orang lain supaya membuat benda cerdik.

Terima kasih kepada petai

Selain kunyah kulit kacang, Isham Rais juga telah menghasut aku untuk makan petai jeruk. Ke mana sahaja dia pergi makan, akan adalah sebotol petai di dalam begnya. Aku boleh bayangkan Isham akan bising dalam penjara nanti: "Oi.. petai jeruk takde? Aku nak petai!"

Menurutnya, “I'm a 17-year-old boy, trapped in the body of a 60-year-old gentleman, but still looking 25; all thanks to my petai." Isham Rais budak muda remaja 17 tahun usia, terperangkap dalam tubuh lelaki berumur 60 tahun, namun kekal kelihatan 25, hasil mengamalkan makan berulam petai.

Dalam majalah Siasah keluaran Julai 2003, Isham Raislah yang menjadi penghias muka depannya - dengan wajah awet muda hasil makan petai.

Antara kejayaan menghasut Isham Rais yang lain ialah memaksa restoran Old Town Kopitiam di Brickfields menjalankan operasi selama 24 jam. Bukan itu saja, dia juga berjaya mendapatkan sebuah meja khas di luar, untuk dia duduk dan memesan makanan dari kedai mamak di sebelah.

Sebut tentang makan, benda paling aku menyampah tentang Isham Rais ialah apabila dia buka gigi palsunya sebelum makan. Potong selera betul (walaupun Isham sentiasa saja berselera)!

Isham memang suka makan, malah ada sebuah buku tentang catitan jelajah seleranya. Dan dia tidak membazir. Kalau ada makanan lebih, dia akan membungkusnya untuk hidangan ‘anak-anak’ di rumah. Beberapa ekor kucing dan haiwan lain termasuk seekor kura-kura.

Gagalis Hari Kekasih

Aku hanya pernah menjadi ‘driver’ Isham Rais sekali saja. Jemput di rumahnya di belakang Istana Negara lama sana, bawa ke restoran makanan laut jauh di Kayu Ara.

Waktu itu musim jerebu. Dia murung betul melihat jerebu. (Isham memang orang yang sentiasa menjaga kesihatan. Jadi sebarang ancaman terhadap kesihatannya memang buat dia murung. Nanti dalam penjara barangkali dia tak murung lagi kerana ada khidmat kesihatan percuma.)

Jadi ceritanya begini: Isham Rais dijangka bakal disumbat ke penjara atas kesalahan menghasut, dan seminggu ini ramai orang menyatakan setiakawan dengan nasib malangnya itu. Tempoh hari sewaktu Malam Baca Puisi Madrasah Seni aku sudah menyatakan solidariti dengan menulis 'puisi segera' sebelum dibaca si Young Syefura.

Isham kongsi puisi itu di blog Tukar Tiub sehari kemudian. Terharu juga aku.

Blog Tukar Tiub itulah sumber hasutan sepanjang zaman, selain sumber pecah berita ‘terNOW’ senarai gagalis tahunannya sempena Hari Kekasih.

Aku hanya pernah masuk senarai gagalis itu sekali saja. Sebenarnya Isham jauh lebih gagal. Meski sekampung dan satu sekolah dengan isteri perdana menteri Rosmah Mansor, Isham tidak berjaya menawan hati Rosmah.

Tulisan Isham di blog itu barangkali berjaya melahirkan lebih ramai penghasut. Kalau kau kira bilangan aktivis yang dilatih Isham Rais, kau akan faham kenapa banyak pihak begitu bersungguh-sungguh mahu mengurung Isham.

Isham Rais adalah induk dan simbol semangat melawan. Kita bercerita tentang Isham Rais supaya orang tidak lupa apa yang telah dia buat untuk negara, dan kenapa negara mahu kurung Isham.

Kita bercerita tentang Isham Rais kerana dia - seperti kita - melawan kerana cinta. Disebabkan itu dia dipercayai akan dikurung. Bukan kerana jahatnya Isham, tetapi kerana semangat melawannya.

Ditanya "kamu kerja apa" oleh hakim dalam salah satu daripada siri perbicaraannya, Isham menjawab: "Saya ini pemikir".

Apabila hakim sedikit keliru, Isham menegaskan: "I'm a thinker, Yang Arif. I think everyday.”

Barangkali sudah tiba masanya topeng Guy Fawkes itu kita tukar kepada muka Isham Rais, si penghasut yang menurut Fathi Aris Omar, "wajar dipenjara" supaya "anak muda tahu hidup itu bukan untuk selfie sewaktu demo sahaja!"

Jadi begitulah. Sudah cukup modal untuk kau Google siapa Isham Rais dan persoal kenapa dia akan dipenjara di bawah Akta Hasutan 1948 Isnin depan.


IZMIL AMRI seorang penulis dan pemerhati politik.

Lihat Komen
ADS