Paling Popular
Terkini

Guru Pembina Negara Bangsa, begitulah tema sambutan Hari Guru di Malaysia pada tahun ini. Sesungguhnya profesyen guru atau pensyarah adalah profesyen yang paling mulia, dan selayaknyalah Hari Guru ini disambut dengan penuh kesyukuran kepada Allah SWT dan diraikan dengan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seorang insan yang bergelar guru.

Pemuda AMANAH Perak tidak ketinggalan ingin mengucapkan Selamat Hari Guru, kepada guru-guru dan para pensyarah di seluruh Malaysia, terutamanya kepada para guru dan pensyarah-pensyarah di negeri Perak Darul Ridzuan.

Hakikatnya, kejayaan yang kita kecapi pada hari ini, adalah hasil ilmu yang diberikan oleh para guru yang kita hormati dan kita sayangi.

Dalam mendepani cabaran abad ke-21, Pemuda AMANAH Perak menyedari hakikat bahawa guru juga berhadapan dengan cabaran untuk membawa para pelajar mengharungi abad ini dengan jayanya.

Maka oleh itu, teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) perlu diubahsuai dan diinovasikan selaras dengan tuntutan global memenuhi kemahiran abad ke-21. Di samping itu juga, pemuda AMANAH Perak menyedari bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik semata-mata, bukan lagi intipati sebenar dalam pembentukan sebuah Negara Bangsa.

Ia perlulah juga didasari pembentukan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) berserta dengan kemantapan akhlak dan nilai-nilai murni yang wajar dipupuk kepada anak-anak bangsa sedari kecil.

Kemahiran-kemahiran lain juga perlu diberikan supaya pada masa akan datang, para pelajar ini mampu berdikari atas kaki mereka sendiri apabila menginjak dewasa tanpa mengharap belas ihsan diberikan pekerjaan oleh orang lain.

Inilah Negara Bangsa masa depan yang menjadi aspirasi kita, dan seharusnya kita, warganegara Malaysia membantu para guru yang budiman ini menunaikan hasrat ini.

Dalam pada masa itu juga, Pemuda AMANAH Perak menyedari kekangan yang diterima oleh para guru, yang dibebani dengan kerja-kerja pentadbiran, mengakibatkan mereka sukar untuk menumpukan sepenuhnya kepada aktiviti P&P di sekolah masing-masing.

Hal ini, jika tidak diatasi akan membarah dan merencatkan hasrat untuk melahirkan sebuah Negara Bangsa. Oleh itu, kita memerlukan kerajaan yang telus, menjaga kebajikan para guru dan mempermudahkan urusan mereka agar mereka sentiasa bersemangat dalam usaha membentuk generasi yang kita impikan pada masa akan datang.

Kerajaan Barisan Nasional pada hari ini malangnya tidak dapat menampung apa yang guru-guru ini perlukan, malahan tidak menggunakan peruntukan untuk agenda pendidikan dengan baik, maka sewajarnya ia digantikan dengan kerajaan yang lebih berkebajikan, progresif dan meletakkan agenda pendidikan sebagai satu agenda yang terutama di dalam negara ini, demi menjayakan agenda yang dirancang.

Pemuda AMANAH Perak berdoa agar agenda pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia di Malaysia akan menjadi satu realiti di kemudian hari. Kami juga berdoa agar para guru akan terus diberikan kesihatan tubuh badan, kekuatan fizikal, mental dan rohani dalam menjayakan agenda pendidikan negara, ke arah melahirkan masyarakat sivil yang kita harapkan. Tanpa guru, siapalah kita.


DR MOHAMMAD TAZLI AZIZAN Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak

Lihat Komen
ADS