Debat: Apa lagi yang Umno Tganu mahu?
Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu tidak terkejut dengan sikap Ketua Penerangan Umno negeri, Ahmad Shabery Cheek, yang telah membatalkan debat terbuka cukai pintu dengan PAS baru-baru ini.
Dari awal lagi, PAS sudah menjangkakan Umno akan mencari apa sahaja alasan untuk membatalkan debat tersebut walaupun atas alasan teknikal, sebagaimana pengalaman dan sejarah debat PAS-Umno pada masa yang lalu.
Adalah tidak munasabah sama sekali bagi Shabery membuat kenyataan debat itu dibatalkan tanpa berunding dengan PAS terlebih dahulu.
Ini bermakna pembatalan itu adalah dari satu pihak dan menggambarkan sikap dan peribadi beliau yang tidak serius dan mengambil sikap sambil lewa sahaja dalam isu besar seumpama ini.
Nampaknya, Shabery membuat keputusan sendiri, padahal dialah yang mula-mula membuat cabaran, kemudian setelah dihubungi sanggup untuk bersemuka dan berbincang dengan PAS, tapi akhirnya dia sendiri pula yang membatalkan debat cukai pintu itu.
Apa lagi yang dikehendaki oleh Umno kerana PAS telah memberi respon berhubung dengan surat yang ditetapkan oleh Umno untuk dijawab pada 27 Februari yang lalu dan telahpun diterima oleh wakil Umno di Pejabat Perhubungan Umno negeri.
Tetapi ia telah dikembalikan semula selepas itu semata-mata kerana lewat sedikit daripada masa yang ditetapkan. Apa hak Umno untuk menetapkan semua ini. PAS tidak pernah berbincang dan bersetuju dengan 'tarikh akhir' ini. Itupun PAS masih bertolak-ansur.
Umno, khususnya Shabery, bukanlah jenis pihak yang berjiwa besar dan dia lebih berminat membuat kenyataan demi kenyataan dalam akhbar walaupun telah beberapa kali dihubungi oleh pihak PAS untuk berunding bagi menyelesaikan beberapa perkara dasar, sebelum debat ini diadakan, tetapi tidak pernah hadir walau sekalipun.
Sikap berdolak dalik dan tidak berminat untuk mengadakan debat, jelas terbukti apabila dia hanya menghantar setiausaha dan setiausaha kerja bironya sahaja untuk berunding, sedangkan kedua-duanya tidak boleh membuat keputusan sebagaimana yang berlaku dalam pertemuan kali pertama pada 12 Januari yang lalu.
Sedangkan saya sendiri dan Penolong Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Haji Mohd Abdul Wahid Endut yang mewakili anggota harian parti, turun sendiri pada pertemuan pada 12 Januari dan 6 Februari yang lalu.
Ini menggambarkan betapa rendahnya Umno dan Shabery dalam soal adab dan protokol perbincangan dan boleh jadi juga program ini tidak mendapat restu dari bosnya sendiri sebagaimana kenyataan Dato' Seri Idris Jusoh dalam sidang akhbar sebelum ini bahawa debat ini adalah urusan Shabery dan atas inisiatifnya sendiri.
Sebenarnya, tidak ada apa-apa perbincangan dengan wakil Shabery, yang tidak boleh membuat keputusan pada 6 Februari yang lalu, sebagaimana yang digembarkan-gemburkannya dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21 Februari lalu.
Sekiranya Umno benar-benar jujur untuk berdebat dalam isu cukai pintu itu, sepatutnya surat balasan dari PAS pada 27 Februari boleh dijadikan asas untuk berunding dan seterusnya berusaha menyelesaikan apa saja perbezaan pendapat bagi menjayakan debat ini.
Adalah tidak munasabah kita tidak boleh bertolak ansur bagi memberi keutamaan kepada kepentingan yang lebih besar iaitu kepentingan rakyat dalam menjayakan isu besar seumpama ini.
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Terengganu.

