Most Read
Most Commented
Read more like this

Tulisan-tulisan pelbagai pihak terutama dalam PAS tentang perubahan kepimpinan PAS yang patut dilakukan dalam pemilihan pada muktamar PAS bulan Jun ini telah mengundang saya untuk memberikan pandangan saya sebagai seorang ahli akademik dalam bidang sains politik.

Saya amat memberikan perhatian terhadap perkembangan PAS kerana saya sangat mengharapkan agar PAS dapat mengimbangkan pengaruh Umno demi merealisasikan sistem timbang tara dan sistem dua parti di negara kita.

Liku-liku perjalanan hidup Allahyarham Datuk Fadzil Noor dalam arena politik Malaysia, terutama dalam PAS, telah banyak merubah daya pemikiran politik Malaysia sehinggakan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pun mengakui ketokohan politik Allahyarham semasa beliau menjadi perdana menteri.

Dr Mahathit menganggap kehilangan Allahyarham dari arena politik Malaysia bolehlah diibaratkan seperti kehilangan kejantanan berpolitik dan ibarat politik hidup tanpa senda gurauannya.

Para pemerhati politik, wartawan, cendiakawan sehinggakan pertubuhan politik dan NGO lazimnya, akan membuat intipan tentang siapakah orang (mutiara) dalam genggaman Allahyarham Datuk Fadzil dan mutiara seperti ini wujud di kalangan semua pimpinan yang bertaraf negarawan di seluruh dunia.

Mutiara ini boleh disifatkan sebagai 'orang presiden'. Sebagai pensyarah di Jabatan Sains Politik sebuah IPTA dalam negara dan orang yang selalu mengikuti dan mengkaji kehidupan berpolitik Allahyarham, saya melihat mutiara dalam genggaman Allahyarham adalah Ustaz Ahmad Awang (bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia) dan Dr Hatta Ramli yang dahulunya setiausaha politik presiden. merangkap setiausaha politik Ketua Pembangkang di Parlimen ketika Allaryarham masih ada lagi.

Saya pernah bertukar-tukar fikiran dan pendapat dengan kedua-dua tokoh ini Ustaz Ahmad dan Dr Hatta dalam isu politik dalam Malaysia, terutamanya ketika Umno dan rakan sekutunya dalam Barisan Nasional telah menuduh PAS sebagai parti politik yang radikal.

Saya dapati jawapan balas dari kedua-dua orang ini adalah sama dan tidak ada perbezaan langsung dengan pemikiran Allahyarham Datuk Fadzil. Pada jangka masa yang sama, ada seorang pelajar dalam jurusan sains politik dari Universiti Tokyo, sedang membuat tesis tentang 'Terrorist in Islamic Politics'.

Jadi kedua-dua orang tokoh ini telah dapat merungkai satu pandangan negatif melalui jawapan-jawapan bernas yang diberikan oleh mereka. Saya telah diberikan salinan teks-teks ucapan Allahyarham oleh Dr Hatta untuk dijadikan analisa dan bahan kajian bagaimanakah pemikiran Allahyarham dan teks ini telah disediakan oleh sebuah pasukan 'pemikir' di bawah kelolaan Dr Hatta sebagai setiausaha politik presiden.

Apa yang lebih menarik lagi, saya telah mendapat satu naskah "Perundangan Islam Dalam Sebuah Negara" yang di dalamnya penuh dengan huraian tentang pendapat Allahyarham dalam perundangan Islam dalam sebuah negara demokrasi yang diberikan oleh Ustaz Ahmad Awang.

Saya sebagai orang luar PAS dan sentiasa mengikuti perkembangan positif parti Islam ini, menganggap sudah sampai masanya PAS perlu menggilap mutiara genggaman Allahyarham dalam skop yang lebih baik dari sekarang, dalam barisan kepimpinan PAS yang akan datang agar ketajaman pemikiran Allahyarham yang ada pada dua tokoh ini, dapat dibuahkan dalam arena politik PAS, khususnya dan Malaysia amnya.

Saya sebagai ahli akademik, melihat ketokohan Ustaz Ahmad Awang dan Dr Hatta Ramli akan mengimbangi peranan yang boleh dimainkan oleh ulama dan intelek dalam PAS dan saya amat menyokong PAS yang berversi baru.

ADS