Perkhidmatan awam perlukan pembaharuan
'Banyak sangat kes jenayah sehingga kita akan jadi sebuah negara yang dikenali sebagai negara yang ada hukuman yang cukup berat. Pasal kemalangan pun nak hukum berat, pasal rotan pelajar pun nak hukum berat. Semua nak hukum berat.' Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pulau Pinang pada 29 Januari, 2005
Negara kita kebelakangan ini seolah-oleh telah bertukar menjadi negara hukuman sehingga ke tahap apabila kita menghadapi masalah atau kirisi yang tidak dapat ditangani, maka perkara pertama yang terlintas di fikiran kita ialah bagaimana kita dapat memberatkan lagi hukuman yang sedia ada supaya orang tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama.
Tulisan Noor Azam di Berita Harian bertarikh 7 Februari dalam ruangannya 'Cetusan Minda: Apa nak jadi pada negara kita?' juga secara kebetulan mengulas pandangan beliau dalam perkara ini.
Keluhan yang jelas terlihat dalam Noor Azam seolah-olah membawa mesej kepada kita bahawa masalah dan krisis ini akan selesai kalau bukan 100 peratus, maka sebahagian besarnya sekiranya kita (penguatkuasa) dapat menjalankan tugas tanpa kelalaian, tanpa sebarang kompromi untuk membelakangkan prosedur dan undang-undang sedia ada.
Apa yang jelas ialah kita mungkin tidak memerlukan undang-undang yang ketat untuk menjaga tertib kehidupan masyarakat kita, kalaulah rakyat kita sendiri mempunyai kesedaran moral dan sivik yang tinggi.
Sebab utama mengapa berlaku jenayah masih berleluasa ialah kerana kekurangan tenaga penguatkuasaan yang berkesan. Pada masa yang sama, kita tidak harus melupakan bahawa rasuah juga merupakan sebahagian daripadanya.
Kerajaan telah berkali-kali menyebut tentang Sistem Penyampaian Berkesan. Perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah urusan kerajaan dapat diselesaikan secara sistematik, efektif dan profesional.
Walaupun begitu, hakikatnya di Malaysia ialah jarang sekali terdapat urusan kerajaan yang dapat diselesaikan sedemikian. Yang ada ialah keluhan dan arahan daripada pegawai kerajaan yang asyik meminta kita tunggu dan tunggu.
Kalau seseorang itu asyik diminta tunggu sahaja, maka apakah bagaimanakah urusan itu dapat diselesaikan dengan cepat? Pilihan pertama ialah rasuah. Apabila rasuah diberi, seseorang itu memang berharap pegawai yang makan suap memberikan segala kelulusan yang diperlukannya.
Jadi, apa yang dicadangkan di sini bukan sahaja bertujuan untuk merombak sistem saraan kakitangan kerajaan, tetapi juga mesti didampingi dengan peningkatan kualiti kerja serta kriteria pengambilan dan kelayakan yang lebih tinggi.
Misalnya, kita masih ada jawatan kerani kaunter dengan kalayakan minimum SRP atau PMR. Pada masa meningkatkan gaji kakitangannya, kerajaan juga harus meningkatkan kelayakan minimum ini sekurang-kurangnya SPM. Secara idea, kalayakan minimum seharusnya diletakkan pada tahap Diploma. Kakitangan yang berkelayakan SPM harus diberi masa untuk meningkatkan kelayakan akademik mereka ke tahap diploma ini atau mereka tidak akan menikmati penyelarasan gaji.
Satu lagi aspek yang cukup penting ialah unsur perkauman/bumiputera. Perkhidmatan Awam Malaysia memang lama dianggap sebagai periuk mangkuk besi yang tidak akan pecah. Dan kebanyakan mereka yang mengganggotai Perkhidmatan Awam ialah kaum bumiputera.
Maka sudah sampai masanya untuk kerajaan menarik lebih ramai bukan bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam. Kerajaan tidak harus asyik mengatakan bukan bumiputera tidak minat dengan perkhidmatan awam kerana gaji tidak tinggi berbanding sektor swasta.
Pentadbiran di bawah Pak Lah mestilah berani melakukan pembaharuan dalam perkhidmatan awam. Sekiranya Pak Lah tidak menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri untuk melakukan sesuatu pembaharuan drastik dalam kerajaan, maka Malaysia akan kehilangan peluang keemasan untuk bertukar menjadi sebuah negara yang bersih dan efektif.
Agenda utama Pak Lah hendaklah membentung gejala rasuah dan bukannya memikir bagaimana untuk melanjutkan tempohnya sebagai perdana menteri Malaysia.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.