Saya merupakan salah seorang daripada berjuta rakyat negara ini yang membantah sebarang pencerobohan ke atas kebebasan dan hak asasi kami sebagai rakyat Malaysia dan telah menulis kepada membidas tindakan Jawi baru-baru ini.

Ada yang beranggapan saya bersifat keanak-anakan, hanya kerana pendirian tegas saya itu. Mereka juga menganggap perkara yang saya bangkitkan itu sebagai remeh-temeh.

Adakah remeh-temeh persoalan kemunafikan pegawai penguatkuasa yang kononnya mencegah perbuatan maksiat, sedangkan mereka sendiri kebanyakannya melakukan perbuatan haram seperti menghisap rokok?

Memadailah hanya menghisap rokok sahaja disebut disini. Seandainya perkara sedemikian dianggap remeh-temeh, padanlah muka kita masyarakat Islam yang semakin dipandang hina oleh masyarakat dunia, tidak seperti dahulu, di mana tamaddun Islam menjadi contoh dan sumber inspirasi tamaddun Barat.

Menurut sesetengah orang, sekiranya anak mereka sendiri yang terlibat, mereka berharap pihak penguatkuasa akan berbuat lebih daripada sekadar biadap! Apa lagi nak dikata kepada orang yang bermentaliti begitu?

Mereka juga beranggapan bahawa saya masih muda dan belum berumahtangga, hanya kerana pandangan saya yang liberal dan rasional itu.

Untuk pengetahuan beliau, saya seorang Melayu/Islam, berumur lebih 40 tahun, mempunyai seorang isteri seorang yang profesional dan kami mempunyai seorang anak perempuan, yang juga seorang Melayu/Islam.