Kesalahan dan kesilapan Derih (Idris) Jusoh terhadap Terengganu memang banyak sejak beliau bergelar ketua pembangkang sehinggalah kini menjadi menteri besar Terengganu.

Kesalahan tidak terampun itu berlaku pada tahun 2000. Derih Jusoh ialah orang yang mengepalai Umno Terengganu bertemu dengan kepimpinan Dr Mahathir Mohamad (ketika itu) bagi memujuk kerajaan persekutuan supaya menghentikan bayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu yang bernilai hampir satu bilion.

Royalti minyak itu pada asalnya hanyalah sekitar RM800 juta setahun. Tetapi berikutan harga minyak dunia melambung, nilai royalti turut meningkat kepada hampir satu bilion satu jumlah yang cukup besar bagi sebuah kerajaan negeri.

Jumlah tersebut, jika dicampur hasil-hasil negeri yang lain, hampir menyamai pendapatan sebuah negeri maju, iaitu Selangor. Bayangkan betapa besarnya jumlah yang sepatutnya diperolehi oleh Terengganu ketika itu.

Derih Jusoh dan kawan-kawannya menyedari kerajaan PAS - pimpinan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika itu - merupakan sebuah kerajaan yang bersih dan amanah. Tiada rasuah dalam pemerintahan Tok Guru.

Justeru, dengan pendapatan daripada royalti yang bernilai satu bilion itu, yang dicampur pula dengan hasil negeri yang lain, maka Terengganu berpontensi muncul menjadi sebuah negeri maju, dinamik, kaya dan bertamadun, melebihi negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional sendiri.

Sudah tentu rakyat Terengganu akan terbela dengan hasil yang banyak itu. Bayangkan, tanpa royalti minyak itupun, Terengganu masih mampu bertahan tanpa berhutang dengan mana-mana pihak. Bahkan, kerajaan Terengganu ketika itu turut membayar bonus kepada kakitangan kerajaan negeri sepertimana dilakukan oleh kerajaan persekutuan.

Hutang lama peninggalan kerajaan Barisan Nasional juga dibayar oleh kerajaan PAS ketika itu. Beberapa jabatan negeri Terengganu juga memenangi anugerah di peringkat pusat. Malahan, Jabatan Perhutanan Terengganu juga mendapat anugerah ISO ketika Derih Jusoh mendakwa kerajaan negeri melakukan penebangan balak secara membuta tuli.

Persoalan mengenai royalti minyak bukan hanya ada berkaitan dengan penyokong PAS, tetapi juga dengan penyokong Umno serta mereka yang tidak berparti. Asalkan mereka rakyat Terengganu, maka royalti minyak pasti mempunyai kaitan secara tidak langsung dengan mereka.

Kini, penemuan minyak di Kerteh, Terengganu tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat negeri itu. Bagi rakyat Terengganu, apa gunanya loji Petronas tersergam indah di sana jika tiada langsung hasilnya kepada negeri? Minyak Terengganu pula adalah jenis bermutu tinggi dan ianya diakui oleh para pakar.

Ini belum lagi kita membicarakan soal peluang pekerjaan. Tiada langsung kuota peluang pekerjaan untuk rakyat Terengganu di komplek tersebut. Di situ, semua orang bebas bekerja tanpa kuota walupun untuk anak negeri sedangkan minyak ditemui di Terengganu.

Kami bukan 'anti-orang asing' tetapi sekurang-kurangnya wujudkan kuota 10 peratus pekerjaan di kompleks itu untuk diisi oleh anak tempatan. Tiada ganjil untuk mewujudkan kuota tersebut. Contohnya, kilang Modenas di Gurun, Kedah menyediakan kuota di mana 95 peratus pekerjanya adalah anak-anak Kedah.

Ianya adil bagi negeri Kedah kerana Modenas beroperasi di Kedah. Alangkah baiknya sekiranya di Kerteh diwujudkan kuota pekerjaan untuk anak tempatan.

Perkara ini pernah disuarakan oleh Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang sebelum PAS menakluk Terengganu pada tahun1999, tetapi tidak dihiraukan BN.

Ini semua adalah kesilapan dan kesalahan Derih Jusoh. Hanya ada satu cara untuk Derih Jusoh memohon maaf iaitu dengan mengembalikan royalti minyak seperti sediakala. Ketika itu barulah kesalahan beliau dengan rakyat Terengganu akan terampun.