Most Read
Most Commented
Read more like this

Surat yang ditulis oleh seorang Pensyarah Sains Politik IPTA mengenai 'mutiara' pemimpin PAS dalam genggaman seorang sahabat, amat menarik perhatian saya selaku seorang kader PAS di peringkat akar umbi.

Saya merasakan pandangan pensyarah ini boleh diterima oleh saya bagi tujuan memperkuatkan PAS sebagai satu-satunya wadah untuk Islam dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia.

Saya bersetuju dengan pandangan beliau bahawa mutiara dalam genggaman Almarhum Ustaz Fadzil Noor ataupun yang beliau istilahkan sebagai 'the president's man' adalah bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia Ustaz Ahmad Awang dan bekas Setiausaha Politik Almarhum, Dr Hatta Ramli.

Bagi saya, kedua-dua pemimpin ini boleh dinobatkan sebagai naib-presiden PAS yang baru. Saya mengharapkan, dengan terpilihnya mereka berdua nanti, maka mereka akan memacu perjuangan PAS dengan mencontohi pemikiran dan gerak kerja Almarhum yang banyak berjasa dalam memantapkan PAS sehingga disegani ramai pada masa kini.

Ustaz Ahmad Awang, dengan pengalamannya semasa memimpin Persatuan Ulama Malaysia, telah mempunyai jaringan yang meluas dengan kebanyakan gerakan Islam di dunia. Ini tentunya akan menguntungkan dari segi mengadakan usahasama dan perkongsian pintar dengan pimpinan gerakan Islam yang lain, yang semuanya bertujuan untuk menegakkan semula sistem khilafah atau imamah yang telah ditinggalkan oleh Mustafa Kamal Attaturk.

Persepsi bahawa PAS dan gerakan Islam yang lain adalah pengganas pastinya dapat dirongkai oleh pimpinan seperti Ustaz Ahmad Awang yang mampu berdialog dengan Barat dan menonjolkan imej PAS yang cintakan keamanan dan kedamaian. Beliau dipercayai dapat menjawab dan melemahkan fahaman Wahabi yang amat sinonim dengan keganasan di dunia hari ini.

Sementara itu, Dr Hatta pula adalah seorang pemimpin yang mampu menjadi jambatan yang baik dengan parti politik yang lain, khususnya parti pembangkang serta masyarakat sivil (NGO).

Dr Hatta yang berani turun ke padang menyertai sebarang bantahan terhadap ketidakadilan kerajaan ini, mampu merapatkan diri sebagai perantara PAS dengan parti politik lain, badan-badan NGO, persatuan pengguna, gerakan mahasiswa, kesatuan sekerja, pertubuhan kebajikan dan sebagainya.

Saya turut menyokong pandangan pensyarah berkenaan yang melihat ketokohan Ustaz Ahmad Awang dan Dr Hatta Ramli mampu mengimbangi ulama dan profesional dalam PAS.

Saya berharap tidak ada mana-mana pihak, khususnya dalam PAS, yang menganggap saya sedang melobi untuk mereka berdua kerana saya tidak mempunyai apa-apa kepentingan pun sekiranya mereka berdua menjadi naib presiden, melainkan merasa optimis tentang masa hadapan PAS yang cerah.

Saya berkeyakinan bahawa PAS bukan sekadar akan menjadi pengimbang kepada pengaruh Umno, tetapi berupaya untuk menggantikan Umno menguasai kerajaan bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, pentadbiran yang baik dan mendapat pengampunan Ilahi.

Dan saya pun sangat menyokong PAS berversi baru.

ADS