Cadangan meng-Umno-kan anak tidak demokratik
Pada hujung minggu lalu, saya mendapat berita melalui media arus perdana bahawa Presiden Umno sedang menimbang untuk meng-Umno-kan anak-anak ahli Umno yang berumur 18 tahun dan ke atas.
Sesungguhnya, saya merasakan cadangan tersebut tidak sesuai berdasarkan alasan-alasan berikut:
Pertamanya, anak-anak ahli Umno yang berumur 18 tahun, kebanyakannya baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pengetahuan yang mereka ketahui tentang politik pada amnya, dan Umno khususnya, dalam usia yang muda ini, adalah terhad kepada apa yang dipelajari dalam matapelajaran Sejarah.
Matapelajaran ini dikenali sebagai subjek yang membosankan bagi kebanyakan pelajar sekolah menengah. Jika mereka meneruskan pelajaran ke Tingkatan Enam, masa yang boleh disumbangkan untuk kepentingan mana-mana parti politik adalah sangat sedikit.
Tambahan pula penyertaan pelajar dalam parti politik adalah dilarang oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.
Hujah kedua saya adalah usaha meng-Umno-kan anak-anak Umno yang berusia 18 tahun ke atas adalah bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi. Keputusan untuk menyertai sesebuah parti politik sepatutnya diputuskan oleh individu berkenaan, bukannya dipaksa atau diarahkan oleh pihak lain.
Satu contoh baik yang berkaitan ialah Allahyarham Saudara Ahmad Nor yang berjuang melalui DAP. Meskipun beliau menganggotai parti DAP, beliau tidak menghalang anak-anaknya berkecimpung secara aktif di dalam Umno dan PAS. Fakta ini boleh didapati di dalam buku Fenomena Ahmad Nor yang ditulis oleh Amran Ahmad.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.